KEKOSONGAN JIWA PUNCA LEDAKAN KEROHANIAN MENCARI PERKARA EKSTREM DI JALAN YANG SALAH

 


Hampir semua ciri dan ajaran disebarkan oleh sesuatu ajaran sesat berselindung di sebalik penggunaan istilah Arab mengelirukan pengikutnya seperti ajaran Hakikat Insan, ajaran Nur Zaman, Imam Mahdi dan ajaran Taslim dengan konsep seperti wahdah al-Wujud, al-Fana’, kasyaf atau ilmu laduni. Penggunaan istilah berkenaan mudah meyakinkan orang yang tidak mempunyai pengetahuan secukupnya.

Berpunca dari kejahilan inilah menyebabkan berlaku kekosongan jiwa dalam diri manusia. Bermakna seseorang itu kosong dari segi nilai kerohanian dan agama. Ini mungkin akibat penolakan masyarakat terhadap agama, termasuk disebabkan perasaan kagum dengan pencapaian sains dan teknologi.

Mereka meyakini sains boleh mencapai segala apa diingini. Namun, apa yang berlaku sekarang, kegagalan sains dan teknologi memenuhi tuntutan kerohanian manusia. Oleh itu, jiwa manusia kosong dan meluap-luap cuba mencari erti kehidupan, maka terjadilah apa dikatakan ‘spiritual explosion’ atau ledakan kerohanian.

Apabila kekosongan jiwa berlaku, seeorang akan cuba mencari apa sahaja untuk memenuhi jiwanya melalui dua cara ekstrem sama ada ekstrem mencari ajaran dianggapnya keagamaan, padahal ajaran sesat atau ekstrem mencari keseronokan dan kegembiraan seperti mengambil dadah, arak atau muzik bersifat kekerasan.

Justeru itu, setiap Muslim diwajibkan menimba ilmu Islam daripada sumber sebenar. Dalam hal ini terserah peranan ulama sebagai pewaris Nabi SAW menyebarkan ilmu, di samping menggalas tugas penegak kebenaran dan pencegah kemungkaran seperti diperintahkan Allah SWT. 

Sumber: Universiti Sultan Zainal Abidin Terengganu


Comments