MENGINSAFI DI SEBALIK DUGAAN MELAHIRKAN RASA SYUKUR KEPADA ALLAH SWT


Tragedi banjir yang melanda sebahagian besar kawasan Pantai Timur dan Utara serta beberapa bahagian lain di negara ini seharusnya melahirkan rasa syukur di kalangan umat Islam. Bahkan, sudah menjadi keyakinan setiap Muslim yang beriman kepada Allah SWT bahawa setiap rahmat dan musibah, kejayaan dan kegagalan, keuntungan dan kerugian dan sebagainya adalah daripada Allah SWT. Dalam hal ini, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

"Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang mereka lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)." (QS Ar – Rum: 41).

Namun demikian, yakinlah bahawa ujian yang menimpa bukan sia-sia. Sudah pasti akan ada hikmah dari Sang Pencipta. Anggaplah ujian sebagai salah satu lumrah dalam kehidupan. Sebagaimana janji Allah SWT dalam Surah Al Insan ayat 2-3 yang bermaksud:

“Sesungguhnya, Kami telah menciptakan manusia daripada setitis air mani yang bercampur, yang Kami menguji (dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat. Sesungguhnya, Kami telah menunjukkan kepadanya jalan yang lurus, ada yang bersyukur dan ada pula yang kufur.”

Di sebalik ujian yang datang sudah pasti Allah SWT tidak akan sekali-kali menzalimi hambaNya. Malahan, ujian yang diberikan adalah selaras dengan kemampuan hambaNya. Setiap Muslim wajib meyakini Allah SWT adalah Zat yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Oleh itu, adalah mustahil bagi Allah SWT untuk berlaku zalim terhadap manusia dan makhluk lain yang menghuni alam semesta ini. Ini kerana rahmat Allah dan keampunan-Nya lebih luas daripada azab dan murkaNya.

Keimanan dan ketakwaan yang bertapak kukuh dalam jiwa setiap Muslim dalam kehidupan masyarakat Islam akan menjadi faktor utama turunnya kerahmatan serta keberkatan daripada Allah SWT. Sebaliknya, kekufuran, kesyirikan, kemaksiatan, kefasikan, pendustaan terhadap Allah dan kepada sesama manusia punca utama turun azab dan malapetaka yang tidak diundang. 

Justeru, apa-apa musibah dan bencana yang menimpa manusia mewajarkan satu renungan dan muhasabah diri setiap Muslim terhadap perjalanan hidup yang telah dan sedang berlangsung pada saat ini. Daripada satu sudut, setiap Muslim wajar merenung apakah kesilapan atau kecuaian yang pernah dilakukannya sehingga mengundang bala bencana daripada Allah SWT itu. Namun daripada sudut yang lain pula, kita perlu merasa bersyukur kerana dengan ujian ini, Allah SWT masih lagi menyayangi kita dan mahukan kita kembali kepadaNya. Ketika kita semua menerima ujian dan musibah, renungkanlah kembali sejauh mana hubungan kita dengan Allah SWT. Jadikanlah musibah yang berlaku untuk muhasabah diri.

Sumber: Kolum Ad – Din, Harian Metro (6 November 2019).


 

Comments