Isu penghinaan agama yang kerap berlaku di media sosial sama ada terhadap agama Islam atau agama-agama yang lain adalah suatu contoh kegagalan sesetengah ahli masyarakat untuk menghormati kepelbagaian yang ada dalam masyarakat Malaysia. Insiden rusuhan kaum yang pernah berlaku di negara ini sepatutnya menjadi iktibar kepada semua rakyat Malaysia agar berhati-hati dalam tindakan supaya tidak menyentuh sensitiviti mana-mana kelompok masyarakat di negara ini.
Kadangkala terdapat salah faham dalam kalangan masyarakat Islam berkaitan penghinaan kepada agama lain. Ada yang mungkin menganggap ia tidak salah kerana apa yang difahami mereka bahawa hanya Islam satu-satunya agama yang diterima oleh Allah SWT dan agama-agama lain tidak diterima, maka wajarlah agama lain dipandang hina dan tidak dimuliakan.
Fahaman ini jelas menyimpang daripada ajaran Islam yang sebenar kerana dalam Islam umat Islam bukan hanya dilarang menghina agama sendiri, tetapi menghina agama lain juga amatlah dilarang. Tambahan pula, menghormati agama dan kepercayaan orang lain tidak semestinya bermaksud mempercayai agama tersebut tetapi sebagai tanda hormat.
Ibnu Abbas berkata, orang-orang musyrikin Mekah berkata kepada Nabi Muhammad SAW:
“Berhentilah daripada menghina tuhan-tuhan kami ataupun kami akan menghina Tuhan kamu”. Maka disebabkan hal tersebut Allah SWT menurunkan laranganNya dalam Surah al-An’am, ayat 108, maksudnya:
“Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan”.
Justeru itu, penciptaan manusia yang mempunyai kepelbagaian dari sudut bangsa, Bahasa, budaya, adat dan sebagainya adalah bukti kebesaran Allah SWT agar manusia berkenal-kenalan antara satu sama lain, lengkap-melengkapi dan seterusnya hidup secara aman dan damai. Keunikan di Malaysia terutamanya yang bersifat pluralisme seharusnya dijaga sebaiknya supaya tidak timbulnya sikap benci-membenci yang boleh membawa kepada perpecahan dalam masyarakat.
Sumber: E-Prosiding Seminar Antarabangsa Falsafah, Tamadun, Etika dan Turath Islami – Universiti Sains Malaysia
Comments
Post a Comment