Iblis berikrar mengelokkan segala jenis maksiat ke atas Adam a.s. serta zuriatnya selain menghalangi mereka daripada menjalani jalan yang lurus. Jenis-jenis penyelewengan, kesesatan dan kekufuran berterusan berlaku dengan dorongan iblis. Oleh sebab itu, seruan dakwah Islam dengan pengutusan para nabi serta rasul yang bergantian sehingga ke para ulama, hakikatnya bertujuan untuk mengembalikan manusia daripada kesesatan kepada kebenaran dan daripada mensyirikkan Allah SWT kepada mentauhidkanNya.
Justeru itu, al-Quran dan Hadis adalah pilihan terbaik bagi umat Islam untuk dipegang teguh kerana mukjizat Nabi Muhammad SAW itu bukan sahaja mengambil berat menjelaskan persoalan Tauhid, tetapi juga menjelaskan persoalan syirik. Fitrah asal kejadian manusia cenderung mentauhidkan Allah SWT, namun persekitaran merubahnya kepada syirik. Fanatik terhadap sesuatu isu atau pemikiran punca khilaf, perpecahan dan akhirnya sesat.
Penyelewengan, kesesatan dan kekufuran yang berterusan berlaku sepanjang zaman ibarat barah yang mengakibatkan kerosakan pada aspek kepercayaan, pengamalan dan kerohanian seseorang Muslim. Dalam mempertahankan kesucian agama Islam, para ulama perlu memainkan peranan lebih bagi mengukuhkan perkara-perkara akidah dengan hujah-hujah yang diyakini dan penolakan tegas terhadap sebarang keraguan. Empat sumber perundangan Islam yang disepakati iaitu al-Quran, as-Sunnah, Ijmak dan Qiyas amat penting kerana ianya berperanan menjaga kesucian akidah Islam daripada sebarang kecelaruan, kesesatan dan kekufuran.
Sumber: Journal of Ifta and Islamic Heritage, Vol.1(1)- Universiti Kebangsaan Malaysia
Comments
Post a Comment