PESALAH KHALWAT DIHUKUM SEBAT DI KHALAYAK RAMAI: SYIAR ISLAM DITEGAKKAN DEMI MEMELIHARA MARTABAT AGAMA
Hukuman sebatan syariah luar penjara terhadap seorang tukang rumah yang melakukan kesalahan khalwat berulang akan dilaksanakan pada 27 Disember ini. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, hukuman itu kekal dilangsungkan selepas solat Jumaat di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Terengganu.
Tambahnya keputusan berkenaan dibuat sebulat suara oleh Panel Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu berikutan penangguhan hukuman tersebut pada 6 Disember lalu. Hasil persidangan itu, mahkamah turut memutuskan bahawa hukuman enam kali sebatan dan denda RM4,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal bayar, sebagaimana keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada 20 November 2024 adalah dikekalkan.
Dari sudut pandangan artikel, pelaksanaan hukuman sebat bagi pesalah khalwat ini sememangnya wajar kerana ia bagi menegakkan ajaran Islam yang sememangnya mengharamkan jenayah khalwat demi menjaga kemaslahatan umat Islam dan nasab. Selain itu, ia juga perlu ditegakkan bagi mengelakkan campur tangan pihak – pihak yang berfikiran bebas seperti golongan liberal. Adakah kita lupa bagaimana kumpulan pemikir bebas seperti G25 yang menggesa pihak kerajaan memansuhkan hukuman khalwat dengan alasan suka sama suka? Nauzubillahiminzalik! Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa dari kalangan kalian yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Sekiranya dia tidak mampu hendaklah dia mengubah dengan lidahnya dan sekiranya dia tidak mampu hendaklah dia mengubahnya dengan jantung hatinya. Demikian itu (mengubah dengan hati) adalah selemah-lemah iman.” (HR Muslim).
Jadi, apa yang dilakukan oleh Kerajaan Terengganu ini sememangnya satu langkah yang tepat dalam memberi pengajaran kepada umat Islam agar memelihara maruah diri dan agama secara khususnya. Jangan disebabkan nafsu, maka kita sanggup mencampakkan diri kita ke lembah kebinasaan. Cukuplah selama ini agama kita dihina dengan sangat aib. Ingatlah, syiar Islam itu menjadi keutamaan demi memelihara martabat agama yang lebih tinggi.
Sumber: Laporan Sinar Harian (16 Disember 2024)
Comments
Post a Comment