Persepsi bahawa Islam adalah agama yang jauh dari kata perdamaian telah sebati dalam kalangan golongan Islamofobia. Munculnya pandangan seperti ini kerana mereka berpendapat bahawa jihad menghalalkan segala cara memerangi orang-orang yang memusuhi Islam. Hal ini lebih jelas apabila provokasi media Barat melabelkan umat Islam sebagai pengganas melalui filem, drama atau berita. Secara tidak langsung, doktrinisasi secara halus ini telah menguasai pemikiran-pemikiran golongan ‘pak turut’ bahawa orang Islam ialah pengganas.
Sedangkan Islam mendidik umatnya dengan pegangan agama yang tinggi serta meletakkan manusia sebagai makhluk ciptaan Allah SWT cukup dengan akal fikiran dan saling mengenali antara satu sama lain. Masyarakat dunia hanya didedahkan dengan serangan penduduk Gaza terhadap Israel sedangkan mereka hanya mempertahankan hak. Hak mereka sebagai kanak-kanak tidak dirasai. Hak sebagai generasi muda yang memerlukan pendidikan tidak dapat dipenuhi. Hak warga emas yang mahukan kedamaian tidak dapat dinikmati.
Islam merupakan agama yang ditujukan demi kesejahteraan dan keselamatan seluruh umat sekalian alam. Islam mengajarkan umatnya untuk selalu menegakkan perdamaian walau di mana sahaja berada. Nilai-nilai perdamaian pada hakikatnya banyak termaktub dalam al-Quran dan juga secara jelas diperincikan dalam pelbagai riwayat hadis.
Tidak ada satu ayat pun dalam al-Quran dan tidak ada satu hadis pun yang mengobarkan semangat kebencian, permusuhan, pertentangan atau segala bentuk perilaku negatif dan penindasan yang mengancam kestabilan serta kualiti kedamaian hidup. Tuduhan tidak berasas golongan Barat itu hanyalah untuk menjatuhkan martabat Islam. Renung-renungkan.
Sumber: Islamic History, Civilization and Education – Universiti Malaya
Comments
Post a Comment