SAMBUTAN HARI NATAL HUKUM HARUS UNTUK MENYAMBUT TETAPI HARAM UNTUK DIRAYAKAN


Seperti semua maklum, Malaysia mempunyai kepelbagaian perayaan dek kerana kaya dengan kepelbagaian kaum di negara ini. Seperti yang semua maklum juga, pada 25 Disember setiap tahun, penganut agama Kristian meraikan sambutan Hari Natal atau lebih disebut kepada perayaan Krismas. Ia merupakan perayaan sebagai memperingati hari kelahiran Isa al-Masih yang mereka sebut sebagai Tuhan Jesus (Jesus Christ).

Namun, adakah kitab oleh merayakan perayaan ini? Syariat Islam melarang umatnya untuk meniru-niru atau menyerupai umat lain dalam segala hal yang berkaitan dengan ibadah, kebiasaan dan perbuatan dalam hidup mereka sehari-hari. Sabda Rasulullah SAW:

“Barangsiapa menyerupai sesuatu kaum itu, maka mereka termasuk dalam kalangannya.” (HR Muslim).

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-68 yang bersidang pada 12 Apr 2005 memutuskan bahawa dalam menentukan perayaan orang bukan Islam yang boleh dihadiri oleh orang Islam beberapa kriteria utama perlu dijadikan garis panduan supaya ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Kriteria-kriteria tersebut adalah seperti berikut:

1) Majlis tersebut tidak disertakan dengan upacara yang bertentangan dengan ajaran Islam.

2) Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang bertentangan dengan syarak.


3) Majlis tersebut tidak disertakan dengan “perbuatan yang bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam di negara ini.

4) Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh “menyentuh sensitiviti masyarakat Islam”.


5) Pihak penganjur dan orang ramai diminta mendapatkan pandangan pihak berkuasa agama sebelum menganjur atau menghadiri majlis perayaan orang yang bukan beragama Islam.

Allah SWT berfirman:

 "Dan mereka (yang diredai Allah itu ialah orang) yang tidak menghadiri tempat melakukan perkara dilarang serta apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya." (QS Al – Furqan: 72).

Oleh itu, perbuatan menyertai upacara Krismas adalah dilarang kerana ia perayaan keagamaan, seterusnya aktiviti dalam perayaan ini akan menyangkut kepada perbuatan keagamaan dan seterusnya terkait dengan akidah. Namun begitu, jika terdapat keperluan untuk mengucapkan selamat kepada yang merayakan seperti rakan taulan, jiran dan sebagainya, ia dibenarkan tertakluk kepada garis panduan ditetapkan secara kolektif oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI).

Sumber: Pejabat Mufti Negeri Sembilan


 

Comments