Keadaan banjir di kawasan Pantai Timur, Utara dan beberapa tempat di Selangor semakin membimbangkan. Namun keadaan mulai terkawal hasil dari gerak kerja cepat pasukan keselamatan negara dalam menyelamatkan mangsa – mangsa yang terlibat ke tempat yang Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Akan tetapi, itu bukanlah “tiket” buat kita sebagai rakyat untuk mengabaikan keselamatan diri.
Tular di media sosial tentang telatah manusia di kawasan banjir. Ada yang bermandi manda, ada yang berpelampung di kawasan banjir seolah – olah sedang berenang dan tidak kurang juga ada yang meredah banjir dalam keadaan air sedang deras. Ini sangat membahayakan diri dan keluarga. Bukankah Islam sudah mengatakan bahawa menjaga keselamatan diri itu lebih utama? Memelihara diri dan nyawa merupakan prinsip kedua terpenting mengikut urutan keutamaan dalam maqasid syariah selepas memelihara agama. Sebab itu, Islam melarang sebarang perbuatan yang mengundang bahaya diri dan orang lain.
Firman Allah SWT:
“Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan baikilah perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.” (QS Al – Baqarah: 195).
Oleh itu, adalah diingatkan kepada semua pihak untuk sentiasa menjaga keselamatan diri dan mendengar arahan daripada pihak berkuasa tentang situasi banjir di tempat anda. Tugas menjaga keselamatan diri ini bukanlah terletak ke atas bahu pihak berkuasa sahaja, tetapi juga ke atas pihak kita juga. Memelihara nyawa merupakan prinsip kedua Maqasid Syariah yang sangat penting bagi memastikan kelangsungan kehidupan makhluk ciptaan Allah SWT. Islam meletakkan harga yang amat tinggi ke atas nyawa setiap makhluk. Nyawa seseorang manusia tidak boleh diambil atau ditamatkan sewenang-wenangnya tanpa hak. Semua makhluk berhak untuk hidup dengan tenang.
Sumber: Jabatan Agama Islam Perak
Comments
Post a Comment