TREND PELACURAN MODEN "DARK SIDE": AGAMA DIBUANG DEMI SERAKAH WANG

 


Menurut laporan berita yang dikeluarkan, platform media sosial hari ini dibanjiri dengan trend akaun ‘Dark Side’ (DS) yang menjadi platform kepada aktiviti persundalan dan pelacuran moden. Modus operandi yang mudah, berbekalkan gambar atau video berkelakuan lucah yang dimuat naik di media sosial seperti aplikasi X, dan Telegram dan menjualnya pada kadar harga tertentu yang menjanjikan pendapatan ribuan ringgit sebulan.

Satu situasi yang amat menakutkan pada hari ini di mana segelintir manusia sanggup membuang agama demi serakah wang ringgit yang tidak kekal lama. Pengaruh rakan sebaya dan desakan hidup antara alasan yang diberikan mengapa mereka memilih jalan DS ini. Namun, matlamat tidak menghalalkan cara. Yang haram tetap haram di sisi agama. Allah SWT berfirman:

"Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan." (QS An - Nur: 30).

Tidak kiralah betapa payah hidup di zaman ini, agama wajib didahulukan dalam apa jua keadaan. Ambillah iktibar dari kisah Sumayyah, wanita pertama yang syahid akibat diseksa dan dibunuh kerana mempertahankan agama Islam. Harga dirinya yang mahal menjadikan kematiannya mulia di sisi Allah SWT. Kita baru diuji dengan kehilangan wang ringgit, kita sudah jadi seperti cacing kepanasan. Kalau diikutkan, ini baru sedikit ujiannya, lihat masyarakat Islam di zaman Rasulullah. Mereka diancam bunuh demi mempertahankan agama.

Jangan kerana wang ringgit, maka hilanglah maruah kita sebagai umat Islam. Isu DS ini bukan sahaja merosakkan masyarakat, malahan iman dan akhlak kita juga rosak. Banyak lagi kerja yang bole diusahakan untuk menambahkan pendapatan sampingan. Bukan kerana mewah hasil daripada dosa. 

Sumber: Laporan Buletin TV 3 (21 Disember 2024)


Comments