Ancaman terhadap keselamatan negara hari ini tidak lagi terbatas kepada peperangan semata-mata. Ancaman bukan tradisional seperti perbalahan mazhab dan konflik agama turut memberi kesan terhadap nilai teras sesebuah negara. Di Malaysia, walaupun fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah diisytiharkan sebagai pegangan rasmi, namun masih terdapat segelintir masyarakat yang berkeras berpegang kepada fahaman Syiah. Persoalannya, adakah ajaran sesat Syiah memberi ancaman keselamatan kepada negara?
Konsep keselamatan negara adalah usaha untuk mencapai nilai-nilai nasional yang merangkumi di dalamnya sistem politik, sosial dan asas fizikal tertubuhnya sesebuah negara. Setiap negara mempunyai nilai teras yang berbeza untuk dipertahankan. Antara nilai teras yang perlu dipertahankan oleh negara Malaysia adalah seperti kedaulatan wilayah, integriti sempadan, kestabilan politik dan sosial masyarakatnya yang berbilang bangsa.
Hal ini bermakna, kewujudan dua fahaman di Malaysia iaitu fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Syiah dilihat mampu mewujudkan pertembungan dalam perpaduan dan keharmonian masyarakat Islam di negara ini. Perbezaan fahaman yang diketengahkan oleh Syiah sukar memperlihatkan titik pertemuan antara golongan Sunni dan Syiah di Malaysia. Ianya bukan sahaja dilihat memecah-belahkan persefahaman masyarakat Islam Malaysia, namun turut menganggu keharmonian umat Islam di negara ini yang berpegang kepada fahaman Sunni.
Justeru itu, dalam usaha menjadi sebuah negara maju di persada dunia pada era globalisasi ini, nilai-nilai teras negara perlu dipertahankan bagi mengekalkan keamanan dan ketenteraman awam.
Sumber: Journal of Social Sciences and Humanities- Universiti Kebangsaan Malaysia
Comments
Post a Comment