ANCAMAN ATEISME IBARAT KOMUNISME MENENTANG RUKUN NEGARA DAN MENCETUS PERGOLAKAN

 

 
Golongan ateis yang berpegang kepada fahaman ateisme adalah ‘tidak berperlembagaan’ kerana Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan beragama. Hal ini bermaksud setiap warganegara perlu mempunyai agama bukannya bebas untuk tidak beragama. Namun, apabila melihat statistik peningkatan masyarakat Melayu-Islam yang bangga mengisytiharkan sebagai bekas Muslim dan berstatus ateis menggambarkan bahawa terdapat gerakan yang cuba untuk menanamkan ideologi ateis kepada umat Islam.

Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan tidak membenarkan penyebaran agama, kepercayaan atau doktrin lain kepada orang Islam di Malaysia. Sekiranya ada pihak mencuba untuk menyebarkan ideologi, doktrin atau menyangkal kesucian agama-agama lain sepertimana Ateis, maka ia boleh disabitkan di bawah Akta Hasutan 1948.

Ancaman ateis tidak jauh bezanya dengan ancaman Komunis suatu ketika dahulu. Ateisme mahupun komunisme, kedua-duanya menolak kewujudan agama sekaligus menafikan kewujudan Allah SWT. Kedua-dua fahaman ini juga bercanggah dengan Rukun Negara dimana Rukun Negara pertama dinafikan. Perkara ini secara tidak langsung berpotensi mencetuskan suasana tidak tenteram dalam kalangan penganut Islam dan juga agama-agama lain di Malaysia.

Jika ada golongan yang berpandangan bahawa Perkara 11(4) juga membawa maksud seseorang berhak untuk tidak beragama, maka hujah ini dilihat terlalu dangkal dan gagal kerana dua alasan. Pertama, gagal memahami maksud sebenar perletakan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan. Kedua, gagal untuk memahami nilai agama bagi orang Islam. Memberi tafsiran kepada kebebasan untuk tidak beragama, jelas sangat bertentangan dengan falsafah peruntukan Perkara 11(4) yang melarang pengembangan apa-apa agama dan doktrin kepada orang Islam, seterusnya kelak membawa ancaman keselamatan pada negara. 


Sumber: al-Takamul al-Ma’rifi, Vol. 5(1) – Universiti Sains Islam Malaysia


Comments