Arak jelas haram di dalam Islam, namun masih ada segelintir individu yang mempersoalkan pengharaman penjualannya di dalam kawasan majoriti yang beragama Islam. Seperti kenyataan salah seorang individu yang mengingatkan semua pihak supaya menghormati hak individu dan tidak menjadikan penjualan arak sebagai isu khususnya menjelang Tahun Baharu Cina.
Tambah individu tersebut, perniagaan syarikat arak mempunyai lesen dan operasi mereka tidak menyalahi di sisi undang-undang. Benar Islam meraikan kebersamaan dalam menyambut pelbagai perayaan, namun kenyataan individu tersebut telah mengundang sensitiviti umat Islam selaku penganut agama majoriti di negara ini. Bahkan, Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Haron berkata, isu penjualan arak perlu dihormati semua pihak kerana dikhuatiri mencetuskan ketegangan serta menjejaskan keharmonian antara kaum berlainan.
Maslahat umat Islam itu perlu diutamakan sebab agama rasmi di negara ini adalah agama Islam. Allah SWT berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (QS Al – Maidah: 90).
Arahan supaya menjauhi arak adalah lebih kuat daripada tegahan meminumnya. Hal ini kerana tegahan sahaja tidak termasuk tegahan lain yang berkaitan dengannya, seperti melayan seseorang minum, membeli atau menjualnya. Ayat al-Quran terdahulu mengharamkan arak yang dibuat daripada anggur sahaja, tetapi pengharaman tersebut termasuklah semua benda yang memabukkan. Rasulullah SAW bersabda:
“Semua yang memabukkan adalah haram.” (Bukhari dan Muslim).
Seharusnya individu tersebut mengambil kira tentang beberapa faktor dalam mengeluarkan kenyataan tentang penjualan arak di kawasan majoriti Islam. Perlu ada satu garis panduan berhubung penjualan arak di tempat majoriti orang Islam serta kena jaga sensitiviti umat Islam. Untuk menjaga keharmonian masyarakat berbilang kaum perkara asas adalah menjaga sensitiviti antara masyarakat terlebih dahulu.
Agama Islam adalah agama yang sederhana dan tidak terlalu ekstremis terhadap penganut agama lain. Tiada halangan untuk penganut agama lain untuk meraikan perayaan mereka dengan minum minuman yang memabukkan itu. Akan tetapi, sensitiviti umat Islam sebagai penganut majoriti negara ini juga harus dihormati. Arak adalah perkara yang sensitif untuk orang Muslim, jadi tiada keperluan untuk menjual di kawasan yang majoritinya adalah Muslim.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment