AZAM 2025 HIDUPKAN HATI DENGAN MAJLIS ILMU KERANA MALAIKAT AKAN ‘MEMAYUNGI’ MEREKA YANG MENGHADIRINYA
Di tahun 2025, kita dapat melihat begitu banyak majlis – majlis ilmu yang diadakan. Bermula dengan program ‘Subuh Macam Jumaat’ hinggalah ke program ‘Mari Berselawat’ serta karnival – karnival agama diadakan bertujuan untuk menarik minat umat Islam mengimarahkan majlis – majlis ilmu seperti ini. Menuntut ilmu secara berterusan amat penting sehingga dapat dihayati dan meresap ke dalam pemikiran, perlakuan dan tindakan. Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Barang siapa berjalan untuk menuntut ilmu, Allah SWT akan membimbingnya ke jalan syurga. Sesungguhnya orang yang berilmu itu dimohon keampunan oleh makhluk di langit dan di bumi termasuk ikan di laut dan sesungguhnya ulama itu adalah pewaris nabi.” (HR Abu Daud dan At – Tirmidzi).
Bahkan, Allah SWT juga berfirman:
"...Allah meninggikan darjat orang beriman di antara kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama beberapa darjat." (QS Al – Mujadalah: 11).
Apabila kita menghadiri majlis ilmu, ia bukan sahaja disukai oleh Nabi dan disayangi oleh Allah SWT, bahkan para malaikat juga akan mengembangkan sayap kepada mereka yang duduk dalam majlis ilmu. Ia sebagai tanda reda dengan usaha yang mereka lakukan. Betapa Allah SWT memuliakan orang yang menghadiri majlis ilmu itu apabila dipayungi malaikat.
Oleh itu, sempena kedatangan tahun baru 2025 ini, marilah suburkan hati kita dengan bertekad menghadiri majlis – majlis ilmu semampu diri kita. Timbalah ilmu dan mantapkan iman dengan ilmu – ilmu agama yang lebih baik agar dapat menjadi pertolongan kita di akhirat sana.
Sumber: Kolum Sinar Islam, Sinar Harian (10 Januari 2020)
Comments
Post a Comment