Masyarakat sedia maklum keterbatasan perundangan syariah terutamanya berkaitan dengan isu keluar agama atau murtad. Kelompongan ini sedikit sebanyak telah menyebabkan golongan tertentu mengambil kesempatan dan sengaja memperlekehkan agama dan umat Islam.
Sebagai contoh terdapat seorang pemuda Melayu yang hakikatnya sudah pasti Islam tetapi dengan bangganya mengumumkan kemurtadannya menerusi sebuah klip video yang viral di platform ‘tiktok’ baru-baru ini. Bukan setakat itu, pemuda tersebut turut menghina agama Islam dengan menyatakan Islam itu sesat, menyebabkan kemunduran dan umat yang menganut sebenarnya telah diperbodohkan oleh agama itu sendiri. Pemuda itu juga di akhir video mengajak umat Islam untuk murtad, memulakan hidup baru dan meninggalkan agama yang dikatakan menyebabkan umatnya miskin.
Ada juga di sebuah platform media sosial lain, seorang pemuda Islam berasal dari Kota Bharu, Kelantan, memaparkan maklumat di profilnya telah meninggalkan agama Islam sekitar 2013. Akaun yang boleh dibuka pada umum dan info di profil menggambarkan bahawa ia sememangnya mahu menyebarluaskan fakta kemurtadannya dan diselitkan juga misinya iaitu untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang hakikat bahawa Islam hanyalah rekaan sekumpulan manusia yang dipelopori Muhammad sendiri.
Situasi ini menyimpulkan bahawa akidah umat Islam kini berada dalam keadaan sangat parah. Inilah hakikatnya dan realiti yang perlu dihadapi umat Islam. Perkara ini perlu dipandang serius oleh semua pihak kerana tugas menjaga agama dan kesuciannya adalah merupakan tugas yang perlu diambil perhatian oleh setiap Muslimserta pihak berwajib dan berautoriti khususnya.
Sumber: Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia- JAN 2025 dan Journal of Shariah Law Research, Vol.1(1)- Universiti Malaya
Comments
Post a Comment