Menggunakan rasional akal dalam menafsir agama dengan alasan membuka ruang dimensi berfikir sebagaimana yang dipegang oleh fahaman Islam liberal semakin berleluasa di dalam negara. Masyarakat kini bukan sahaja terpaksa menanggung penderitaan angkara krisis ekonomi, namun turut dilanda ancaman liberalisme.
Antara isu yang ingin diketengahkan adalah isu ingin berkahwin tetapi tidak mahu mempunyai anak (childfree). Alasannya termasuklah kenaikan harga barang yang membebankan, krisis ekonomi, tekanan hidup, kesibukan bekerja dan sebagainya. Hal ini menggambarkan bahawa ideologi liberalisme cuba mengganggu institusi kekeluargaan itu sendiri seperti ‘childfree marriage’ ini secara halus. Akibatnya, tanpa disedari ada juga golongan Islam yang terpengaruh.
Sedangkan dalam Islam, salah satu daripada tujuan perkahwinan adalah untuk mendapatkan zuriat. Setiap anak yang dilahirkan adalah anugerah dan amanah yang diberikan oleh Allah SWT pasti membawa serta membuka ruang-ruang rezeki yang baik.
Sedarlah bahawa pemikiran sebegini (childfree) adalah menyerupai keadaan ketika zaman jahiliah, tatkala mereka pada zaman itu membunuh anak perempuan kerana risau anak tersebut menyusahkan mereka dan menyebabkan mereka miskin. Tanggapan ini amat bercanggah dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Hud , ayat 6, maksudnya:
“Dan tidaklah sesuatu pun daripada makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jugalah yang menetapkan rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan”
Justeru itu, hindarilah diri daripada terjerumus ke dalam pemikiran liberalisme yang jelasnya hanya menggunakan rasional akal untuk membuat sebarang keputusan. Secara tidak langsung, penerimaan terhadap idea ‘chidfree mariage’ dalam kehidupan umpama telah menolak fitrah manusia sebagaimana yang disyariatkan oleh Allah SWT. Jika ianya berterusan dan tidak ada langkah-langkah kesedaran, dibimbangi bukan sahaja akan merosakkan institusi kekeluargaan, malah kelak melahirkan masyarakat pincang.
Sumber: Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia- JAN 2025 dan harakahdaily.net
Comments
Post a Comment