ISRAK MIKRAJ 2025 MENGENANG PENGORBANAN RASULULLAH SAW DEMI UMAT AKHIR ZAMAN


27 Januari 2025 bersamaan dengan 27 Rejab 1446 Hijrah adalah hari di mana kita mengenang pengorbanan Rasulullah SAW melalui peristiwa Israk dan Mikraj. Peristiwa di mana Baginda SAW berjalan dari Kota Makkah ke Masjid Al – Aqsa dan kemudian terus ke Sidratul Muntaha untuk meminta keringanan dalam melakukan solat fardhu daripada 50 kepada 5 rakaat atas cadangan Nabi Musa AS. Tahun itu juga Baginda kehilangan dua orang yang tersayang iaitu bapa saudara, Abu Talib dan isterinya, Saidatina Khadijah di mana tahun tersebut dikenali sebagai Tahun Dukacita. 

Israk dan Mikraj adalah antara mukjizat terbesar yang Allah SWT anugerahkan kepada Nabi Muhammad SAW. Anugerah ini amat penting sehinggalah satu surah dalam al-Quran dinamakan dengan nama surah al-Isra. Kepentingan peristiwa ini kepada umat Nabi Muhammad SAW amat jelas dengan catatan kejadian tersebut dirakamkan dalam ayat yang pertama. Firman Allah SWT:

"Maha Suci Allah yang menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid al-Haram (di Makkah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (QS Al – Isra’: 1).

Israk dan Mikraj merupakan 'tasliyah' (hiburan) daripada Allah SWT untuk Nabi SAW yang dilanda perasaan dukacita atas peristiwa di atas. Terdapat pelbagai hikmah dan pengajaran boleh diambil oleh umat Islam melalui peristiwa Israk Mikraj untuk dijadikan panduan dan pedoman dalam kehidupan seharian:

1) Menzahirkan ketinggian darjat dan kedudukan hamba. Perkataan yang digunakan untuk menyebut Nabi SAW dalam ayat pertama surah al-Isra' adalah 'abdun' yang bermaksud hamba. Ini menunjukkan hamba yang benar-benar bertakwa kepada Allah SWT mendapat darjat dan kedudukan yang tinggi di sisiNya.

2) Persiapan dan persediaan dalam berdakwah supaya berjiwa kental. Allah SWT mempersiapkan Nabi SAW untuk menghadapi pelbagai peringkat dakwah. Pelbagai dugaan dan ujian dilalui Baginda semasa menegakkan agama Islam ditambah lagi dengan penindasan kaum Quraisy yang semakin keterlaluan. Jadi sewajarnya umat Islam berusaha mengambil pelajaran dan mencontohi Nabi SAW untuk tidak mudah menyerah atas ujian dan cubaan yang silih berganti dalam kehidupan.


3) Menyampaikan kebenaran dan fakta walaupun sukar dan pahit. Nabi SAW dilatih untuk menceritakan peristiwa yang telah dialami sepanjang malam kepada penduduk Makkah. Hakikatnya, ramai yang tidak dapat menerima dan mempercayai khabar yang tidak logik tersebut. Namun, kebenaran harus tetap disampaikan, meskipun terdapat banyak penolakan dan penentangan.

4) Menzahirkan keistimewaan Masjid al-Aqsa bagi umat Islam. Perjalanan Israk Nabi SAW menuju masjid yang berada di bumi Palestin sebagai tempat transit, sebelum mikraj bertolak ke Sidratul Muntaha telah menunjukkan betapa mulia dan agung masjid tersebut yang pernah menjadi kiblat pertama buat umat Islam. Kini Baginda meninggalkan amanah kepada kita untuk menuntut dan mempertahankan masjid tersebut daripada terus dicerobohi oleh Z!0n!s. 


5) Menzahirkan bahawa Islam adalah agama yang suci. Ketika Nabi SAW diberi pilihan antara air susu dan khamar, lalu Nabi SAW memilih susu. Kemudian Malaikat Jibril AS menjelaskan Nabi SAW memilih kesucian sebagai isyarat bahawa Islam agama suci atau fitrah.

6) Kepentingan mendirikan ibadah solat. Peristiwa ini menggambarkan kepentingan solat lima waktu yang disyariatkan secara langsung di hadapan Allah SWT tanpa melalui perantaraan Malaikat Jibril AS sebagaimana syariat ibadah-ibadah yang lain.


Oleh itu, sebagai umat Islam yang hidup berlandaskan al – Quran dan As – Sunnah, marilah kita bersama – sama mengenang pengorbanan junjungan besar kita, Rasulullah SAW dalam memelihara akhlak dan akidah umat Islam di akhir zaman. Sumbangan Baginda dalam pembentukan sahsiah dan akhlak umat Islam akhir zaman ini sangat tidak ternilai harganya. Bahkan warisan yang ditinggalkan oleh Baginda supaya umat Islam hari ini hidup dalam ketaatan kepada Allah SWT dan memelihara iman mereka masih kuat hingga ke hari ini. Jadilah Muslim yang sejati agar kita iman sentiasa terpelihara dan diredhai Allah SWT.

Sumber: Risalah USIM


 

Comments