ISU “MUSLIM KITCHEN” SATU PENGANIAYAAN KEPADA INDUSTRI HALAL NEGARA


Baru – baru ini kecoh apabila Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu sebuah restoran milik bukan Islam yang menampal stiker “Muslim Kitchen” dengan alasan cuba menarik pelanggan orang Islam dengan menggunakan simbol mesra Muslim seperti masjid. Lebih mengejutkan, apabila diperiksa dari daftar menu, premis makanan itu sendiri menjual makanan yang tidak halal seperti daging babi. 

Dakwa pemilik restoran terbabit, rakan – rakan dan pelanggan di restoran terbabit yang menyuruhnya meletakkan pelekat “Muslim Kitchen” terbabit. Apa yang pasti, ini bukan sahaja merupakan satu penganiayaan, malah juga satu penghinaan terhadap industri halal di Malaysia. Ada individu – individu tidak bertanggungjawab yang cuba untuk mencemarkan nama baik Islam dengan mempergunakan kaedah “Muslim Kitchen” demi menarik perhatian umat Islam negara ini untuk makan di restoran tersebut. Mungkin nanti ada fitnah yang timbul dan mengatakan umat Islam boleh memakan daging yang haram, siapa tahu? 

Satu nasihat kepada umat Islam, jangan semberono mempercayai sesebuah restoran itu halal atau mesra Muslim tanpa memeriksa kesahihannya. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah pun menyediakan beberapa garis panduan dan aplikasi pengesahan logo dan status halal untuk panduan anda semua jika terdapat keraguan dalam produk yang digunakan dan juga premis – premis yang diragui tahap halalnya. 

Jangan kerana viral dan trend, maka kita menolak segala hukum perintah Allah SWT yang mengutamakan konsep Halalan Toyyiban dalam semua penggunaan bahan dan makanan di dalam hidup kita. Islam dengan jelas menggariskan ciri-ciri perkara yang halal dan haram sebagai panduan kepada umat Islam. Oleh demikian adalah menjadi kewajipan kepada umat Islam memilih produk yang halal bagi mengelak daripada perkara yang diharamkan serta tidak memenuhi kehendak syarak. Firman Allah SWT:

"Wahai orang-orang yang beriman, makanlah daripada benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadah kepadaNya." (QS Al – Baqarah: 172).

Sumber: Laporan Berita Sinar Harian (9 Januari 2025)

 

Comments