Keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan agama merupakan identiti unik yang dimiliki oleh Malaysia semenjak kemerdekaan. Namun begitu, usaha untuk mengekalkan keharmonian ini sudah pastinya berhadapan dengan pelbagai cabaran terutamanya pada era revolusi industri kini yang dipenuhi dengan pelbagai platform secara maya untuk kebolehcapaian maklumat dan komunikasi.
Namun demikian, kemudahan yang ditawarkan ini telah disalahgunakan hingga mengundang penghinaan terhadap agama, kaum dan institusi beraja (3R), lalu mencetuskan kebencian yang semakin menjadi-jadi. Misalnya kecoh di laman aplikasi X berkenaan seorang pengguna bernama ‘Cecelia Yap Song KL’ meninggalkan komen berunsur menghina 3R dengan kenyataan “All names with MoHAMmad got to be renamed then”. Lantaran itu, berlakunya konflik di ruangan komen antara pengguna-pengguna lain dengan pelbagai kecaman dan kebencian.
Perkara sensitif ini yang melibatkan agama dan kaum sekiranya tidak diuruskan dengan baik, berpotensi membawa Malaysia ke arah perpecahan dan permusuhan. Elemen 3R berperanan penting sebagai teras pembentukan dan pengukuhan keharmonian dalam hubungan masyarakat di Malaysia.
Atas dasar inilah, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sendiri perlu memberikan perhatian serius terhadap sebarang percubaan menggugat salah satu daripada tiga teras utama ini. Pengukuhan ketiga-tiga elemen ini mampu menjadi penggerak dalam mewujudkan masyarakat berbilang kaum dan agama yang lebih harmoni dan bertanggungjawab, selaras dengan usaha kerajaan dalam membina masyarakat Madani.
Sumber: E-Prosiding SHIS X –Universiti Malaya
Comments
Post a Comment