KES DADAH SEMAKIN HARI SEMAKIN MEMBIMBANGKAN: HENTIKANLAH DARI MEMBINASAKAN DIRI SENDIRI

Dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh sebuah portal berita tempatan melaporkan bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini sedang berhadapan tugas yang mencabar dalam memerangi kes penyeludupan dadah terutamanya di kawasan pintu – pintu sempadan negara. Tambah laporan itu lagi, usaha yang dijalankan sejak lebih empat dekad lalu hingga kini belum menampakkan tanda penyelesaian dek kerana ancaman dadah jenis baharu atau sintetik.


Sebenarnya, usaha memerangi kes dadah ini bukan sahaja terletak di atas bahu kerajaan, malah ia menjadi tanggungjawab semua pihak. Sebagai umat Islam, kita sudah pun mengetahui akan bahayanya dadah jika dimasukkan ke dalam tubuh secara berlebihan, mengapa kita masih tidak cakna akan perkara itu dan cuba membantu pihak berwajib menyebarkan info tersebut kepada masyarakat sekeliling kita? Allah SWT sangat benci kepada hambaNya yang dengan sengaja merosakkan diri mereka sendiri. FirmanNya:


“Janganlah kamu melemparkan diri kamu ke lembah kebinasaan.” (QS Al – Baqarah: 195).


Islam sangat melarang perbuatan yang memudaratkan diri sendiri dan orang lain. Larangan itu turut disebut dalam hadis yang diriwayatkan Sa’ad Ibnu Sinan al-Khudri RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:


“Tidak boleh melakukan perbuatan yang mudarat dan dan tidak boleh memudaratkan orang lain.” (HR Ibnu Majah).


Oleh itu, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk mencegah pengaruh dadah ini dari terus merebak ke dalam keluarga, sahabat dan masyarakat. Bahkan Allah SWT berfirman:


“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (QS Al – Maidah: 90).


Penyalahgunaan dadah seperti syabu, pil kuda dan pelbagai jenis dadah sintetik lain menular dalam kehidupan umat Islam kerana ramai yang meletakkan taraf pelbagai jenis dadah yang berjisim bukan sebagai arak yang memabukkan. Pendidikan untuk membenci dadah dan arak perlu diperhebatkan di sekolah hinggalah ke mimbar masjid dengan berterusan. Tiada dadah halal jika disalahgunakan dan tiada arak halal sekalipun bercukai dan berlesen kerana hukum Allah SWT semua yang memabukkan adalah perbuatan syaitan yang amat keji.          


Sumber: Laporan Berita Sinar Harian (24 Disember 2024)

Comments