KES KEMATIAN DI KONSERT TAHUN BARU 2025 : AMBILLAH IKTIBAR DAN PERBAIKI DIRI AGAR MENJADI MUKMIN YANG LEBIH BAIK
Empat individu disahkan maut selepas menghadiri konsert Pinkfish Countdown sempena meraikan tahun baharu 2025 di Bandar Sunway, Subang Jaya, pada malam Selasa lalu. Perkara itu juga disahkan oleh Polis Selangor, di mana kematian tersebut melibatkan dua lelaki dan dua wanita tempatan berusia antara 20 hingga 40 tahun. Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Kematian mengejut namun menyedihkan. Meninggal di tengah – tengah keramaian yang bercampur di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Walaupun punca kematian masih dalam siasatan namun artikel ingin mengajak kepada semua umat Islam untuk mengambil iktibar daripada tragedi ini kerana kita tidak akan tahu bila dan di mana pengakhiran hidup kita di kemudian hari. Imam Ibnu Katsir berkata:
“Sungguh siapa saja yang hidup di atas suatu kebiasaan tertentu, dia pun akan diwafatkan di atas kebiasaan tersebut.” (Ibnu Katsir, Tafsiir al-Qur’aan al-‘Azhiim, 2/101; as-Sa’adi, Taysiir al-Kariim ar-Rahmaan fii Tafsiir Kalaam al-Manaan, 1/130).
Oleh itu, semua umat Islam harus menjaga diri daripada perkara – perkara negatif seperti ini. Agak menyedihkan sebenarnya kerana malam tahun baru ini bersamaan dengan malam 1 Rejab, antara bulan yang mulia sementara kita menuju ke bulan Syaaban dan Ramadan. Ramai di antara kita memilih untuk menyambut tahun baru dengan cara bersuka – ria berbanding memanjatkan syukur kepada Allah SWT kerana dengan izinNya kita masih lagi bernafas di bumi ini.
Jadi, sentiasalah beringat wahai umat Islam bahawa setiap dari perbuatan kita itu akan dibalas oleh Allah SWT. Renungkan sejenak, sudah memasuki tahun baru dengan suasana yang baru, apakah kita masih mahu memiliki kepribadian, atitud dan akhlak yang lama? Jadilah Mukmin yang lebih baik dan sentiasa memelihara akhlak dan kehormatannya. Abu Darda’ R.A. dalam satu ayat menyatakan:
“Kesempurnaan takwa itu ialah apabila seorang hamba takutkan Allah sehinggakan dalam sekecil-kecil perkara (sebesar zarah) dan juga dia meninggalkan perkara yang halal kerana takut terjebak kepada yang haram, sebagai penghalang antara dirinya dengan perkara yang haram.” (Fathu al-Bari libni Rejab (1/16)).
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment