KONSEP PENGAJARAN NYATA SESAT, NAMUN TETAP TERPENGARUH TANDA IMAN LEMAH


Kelahiran ajaran sesat secara tidak langsung menjadi kayu pengukur yang dapat menentukan tahap kelemahan iman seseorang Muslim dan kemampuan mereka menilai antara ajaran hak dan batil. Nyatanya, segelintir masyarakat tanpa mengenal peringkat telah terkeliru lalu menerima ajaran dan pegangan ajaran sesat dengan menganggap sebagai sebahagian dari ajaran Islam kerana jahil tentang hakikat sebenar ajaran Islam.

Sebagai contoh mereka yang terperangkap dalam gerakan ajaran sesat boleh menerima konsep pengajaran yang bercanggah dengan syarak seperti:
i. Sembahyang hanya memadai dengan niat sahaja sehingga ianya boleh dilakukan sambil berjalan, makan, bekerja dan sebagainya;
ii. Manusia keseluruhannya daripada Allah SWT dan akan kembali sebagai satu juzuk dari zat Allah SWT sebagaimana pegangan ajaran Buddha yang mendakwa manusia yang suci dan tidak berdosa akan kembali bersebati dalam zat Tuhannya;
iii. Mengerjakan haji di Mekah sunat sahaja; dsb.

Percanggahan-percanggahan yang amat keterlaluan dengan syariat Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW sudah jelas membuktikan bahawa ajaran tersebut sengaja direka oleh musuh-musuh Islam dengan tujuan untuk memesongkan ajaran Islam yang sebenarnya. Itulah sebabnya pembawa ajaran sesat tidak mempunyai kitab-kitab rujukan yang tertentu yang diakui sebagai sandaran kepada butir-butir pengajarannya. 

Ada juga dakwaan ajarannya berlandaskan kitab-kitab tasawwur, tetapi akibat kelemahan dirinya memahami isi kandungan kitab-kitab tersebut, maka bukan hanya dirinya sendiri terpesong, ia turut membabitkaan kepincangan akidah pengikutnya.

Justeru itu, umat Islam diseru untuk mengambil langkah-langkah menyelamatkan dirinya daripada cengkaman atau pengaruh ilmu-ilmu sesat yang semakin merebak dalam masyarakat Islam. Sedarlah bahawa hanya agama Islam yang merupakan sebenar-benar ajaran dan banyak bukti boleh diketahui kebenarannya hanya melalui senaskah al-Quran. Betapa dahsyatnya mukjizat Nabi Muhammad SAW yang diturunkan Allah SWT semenjak 1447H boleh merungkai segala persoalan sepanjang zaman. Maka carilah kebenaran itu.

Sumber:   Majlis Ugama Islam Kelantan


 

Comments