Belum pun reda isu stokin yang terdapat kalimah Allah, kini pasaraya yang sama dilanda kontroversi sekali lagi dengan isu sandwich ham yang dijual di salah sebuah pusat pengajian tinggi di ibu negara tanpa ada logo halal yang sah. Tidak sampai setahun terpalit dengan isu kontroversi, kali ini diganti dengan kontroversi yang baru. Adakah pengusaha pasaraya berkenaan tidak belajar dari kesilapan lampau terhadap isu sensitiviti umat Islam?
Walaupun kenyataan rasmi telah dikeluarkan tentang semua pembekuan urusan perniagaan dengan kilang pembuatan sandwich tersebut, namun ia bukanlah sesuatu yang mudah dilupakan oleh semua umat Islam terhadap apa yang terjadi pada tahun lalu dan tahun ini. Sebagai pengusaha pasaraya terkenal dan mempunyai cawangan di seluruh negara, pengurusan tertinggi pasaraya berkenaan seharusnya lebih peka terhadap produk yang mereka jual. Di Malaysia, kita mempunyai Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) yang boleh dijadikan panduan atau kaunter pertanyaan. Mengapa masih memilih untuk mengikut cara dan kepala sendiri?
JAKIM telah menyediakan beberapa siri kursus untuk pengusaha produk dan cara mereka untuk mendapatkan sijil halal bagi memasarkan produk yang ingin dijual. Seharusnya peluang ini patut diambil oleh syarikat pasaraya berkenaan untuk belajar dan mengetahui apa yang boleh dan apa yang tidak boleh digunakan dalam memasarkan produk yang dijual. Jika perkara ini masih berterusan, jangan salahkan umat Islam jika mereka mengambil tindakan yang tegas kerana mereka menganggap agama mereka dipermainkan sekali lagi.
Syabas diucapkan kepada pihak universiti yang berkenaan kerana mengambil langkah drastik dengan menutup premis kedai terbabit sehingga siasatan selesai. Ini membuktikan bahawa pengurusan tertinggi tidak sesekali berkompromi dengan kejadian berkenaan dan menganggap ia satu isu serius yang perlu ditangani dengan segera.
Semoga kejadian ini menjadi iktibar buat semua rakyat Malaysia bahawa jangan sesekali menganggap isu ini sebagai isu yang remeh dan boleh dilupakan begitu sahaja. Isu sensitiviti umat Islam jangan sesekali dibuat mainan kerana ia bakal mengundang lebih banyak kemarahan umat Islam sebagai kaum majoriti di negara ini. Sabda Rasulullah SAW:
“Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu juga jelas, dan antara kedua – duanya terdapat perkara yang syubhah (samar – samar) yang tidak diketahui oleh ramai manusia. Maka itu, sesiapa yang menjauhi perkara syubhah bermakna dia telah menyelamatkan agama dan kehormatannya, dan sesiapa yang terjerumus dalam perkara syubhah maka dibimbangkan terjerumus dalam perkara haram.” (HR Bukhari).
Sumber: Dewan Tamadun Islam
Comments
Post a Comment