Minggu lalu, sebuah acara pesta makanan terpaksa dihentikan serta - merta berikutan tiada kebenaran permit dan lesen daripada pihak berkuasa tempatan. Bukan itu sahaja, acara itu juga telah menyebabkan kesesakan lalu lintas di mana ia diadakan di sekitar kawasan parking sebuah kompleks yang sekelilingnya merupakan kawasan perumahan bertingkat telah mendatangkan suasana tidak selesa kepada para penghuninya.
Namun, itu bukan perkara utama yang ingin artikel perkatakan. Artikel juga tidak berpihak kepada mana – mana individu di dalam hal ini. Cuma apa yang artikel ingin bincangkan di sini di mana nilai empati kemanusiaan kita sesama manusia? Ini berikutan beberapa dakwaan pengunjung dan juga pemilik perniagaan yang menyertai acara pesta makanan tersebut mendakwa di baling beberapa objek dan barangan dari atas rumah tingkat berkenaan.
Di mana nilai kemanusiaan kita kepada para pengunjung dan para peniaga di kawasan itu? Yang bersalah bukan mereka tetapi penganjur acara terbabit, tetapi mengapa mereka pula yang dijadikan sasaran balingan objek yang merbahaya? Yang hadir di acara tersebut bukan sahaja orang dewasa, malah kanak – kanak dan bayi juga ada. Andai kata objek balingan itu terkena kepada mereka, anda tahu sendiri kan momentum kelajuan sesuatu objek apabila dijatuhkan kebawah? Apa lagi jika dibaling? Ia boleh mengakibatkan cedera parah ataupun maut.
Nilai kemanusiaan merupakan aspek penting dalam membentuk sikap dan karakter dalam diri seseorang. Nilai kemanusiaan ditunjangi dengan sifat seperti berkasih sayang, berkebajikan, mencintai kebenaran dan kedamaian, berlemah lembut dan sebagainya. Nilai-nilai kemanusiaan ini dapat diintegrasikan dalam pengekalan hubungan baik sesama manusia tanpa mengira bangsa, agama dan budaya dalam masyarakat. Sekiranya tidak berpuas hati, laporkanlah kepada pihak berwajib. Jangan sesekali menetapkan undang – undang di tangan sendiri, kelak akan menyesal kemudian hari. Allah SWT berfirman:
"Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelingkah itu); dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat." (QS Al – Hujurat: 10).
Sumber: Kolum Ad – Din, Harian Metro (13 Julai 2023)
Comments
Post a Comment