Perkara ini bukanlah perkara baharu, malah sudah lebih berpuluh kes yang dilaporkan ke pihak berkuasa. Namun masih terdapat lagi kes syarikat pengendali umrah yang gagal melaksanakan tugas mereka dalam mengaturkan perjalanan umrah para pelanggan dan menyebabkan mereka terkandas. Penerbangan yang sepatutnya dijadualkan pada 14 Januari lalu, terpaksa dibatalkan konon dengan alasan visa dan penginapan dibatalkan oleh pihak Arab Saudi.
Akan tetapi, apabila disiasat barulah terbongkar segalanya apabila dimaklumkan bahawa tiada tempahan tiket penerbangan untuk para jemaah yang terkandas. Malah, status visa dan hotel penginapan juga tidak dapat dipastikan. Akibat daripada onar pihak syarikat, lebih 300 bakal jemaah menanggung kerugian yang besar bahkan jumlah yang dianggarkan lebih setengah juta. Lebih memilukan, ada di antara bakal jemaah ini datang dari lain – lain negeri dengan menaiki pesawat dan sampai ke Kuala Lumpur untuk menunaikan umrah.
Nauzubillahiminzalik! Sampai bila kita mahu dihinggapi oleh “parasit” penunggang agama seperti ini?! Kita berusaha keras untuk mengumpul duit semata – mata untuk berjumpa Allah SWT, untuk mengadu kepadaNya dan ikhlas beribadah kepadaNya tetapi ada pihak yang tidak bertanggungjawab dengan sengaja mengaut keuntungan dengan jalan menipu. Tidakkah mereka malu dengan Allah SWT kerana menjual agama demi kepuasan tembolok sendiri? Ini satu penganiayaan dan Allah SWT amat benci dengan perbuatan zalim ini. Firman Allah SWT:
“Sesiapa yang mengganggu dan menyakiti lelaki beriman serta wanita beriman tanpa apa-apa kesalahan yang mereka lakukan, maka sesungguhnya mereka memikul kesalahan (buhtan) dan berbuat dosa yang amat nyata.” (QS Al – Ahzab: 58).
Kesan daripada perbuatan menyusahkan manusia dan masyarakat itu akan memberikan kesan kepada pelakunya di akhirat kelak hingga tidak mustahil bakal menjadi orang yang muflis. Bahkan Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya orang muflis dalam kalangan umatku ialah orang yang datang ketika Kiamat dengan membawa pahala solat, puasa, zakat dan pelbagai ibadat tetapi dia juga pernah mencaci, memfitnah, mengambil harta tanpa hak, menumpahkan darah serta memukul orang lain.” (HR Bukhari).
Malah, dalam sebuah lagi hadis sabda Rasulullah SAW:
“barangsiapa menipu (dalam perniagaan) maka dia bukanlah daripada golongan kami.” (HR Muslim).
Betapa beratnya dosa menyusahkan orang lain itu, ia tidak akan hilang hanya dengan bertaubat kepada Allah SWT selagi tidak meminta maaf dan halal daripada mereka. Ingat, setiap orang yang pernah dizalimi dan dianiaya itu akan menuntut hak masing-masing dan sebagai balasannya, mereka mendapat sebahagian pahala yang berkadaran dengan hak terbabit.
Buat umat Islam di negara ini, sudah tiba masanya untuk kita menjadi pengguna yang bijak dalam memilih perkhidmatan pengendali umrah yang dijamin kesahihannya. Ambillah pakej pengendali umrah yang bertauliah yang berpengalaman luas dan bukannya sekadar gah pada nama sahaja. Buat kerajaan atau badan – badan berkenaan, sudah tiba masanya untuk anda menjalankan tugas untuk meneliti syarikat – syarikat pengendali umrah di negara ini agar pengguna tidak terus tertipu dengan pakej umrah yang ditawarkan tetapi sebaliknya ia satu penipuan.
Sumber: Laporan Berita Sinar Harian (14 Januari 2025)
Comments
Post a Comment