LOGO HALAL BERI KEYAKINAN KEPADA PENGGUNA MUSLIM TERHADAP PRODUK YANG DITAWARKAN


Pemakaian logo halal mungkin dianggap remeh oleh sebahagian masyarakat, namun ia sangat memberi manfaat kepada masyarakat Islam khususnya yang hidup dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia. Penggunaan logo halal di sesuatu produk atau premis memberi impak yang jitu kepada pengguna muslim kerana ianya telah diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Pengiktirafan ini menunjukkan bahawa sesuatu produk itu bukan sahaja halal malah ‘thoyyiban’ iaitu suci dari perkara-perkara meragukan atau haram.

Peniaga atau pemilik premis makanan merupakan kelompok masyarakat yang banyak mendapat manfaat daripada pemakaian logo halal ini. Ianya mampu melonjak permintaan dan jumlah pelanggan berkunjung ke premis termasuklah peniaga bukan Muslim. Impak ini telah menyebabkan sebahagian peniaga atau pemilik premis cuba menggunakan logo halal palsu, mempamerkan logo halal yang sudah tamat tempoh dan sebagainya demi meraih perhatian pengguna Muslim. 

Representasi halal atau memberi gambaran bahawa produk atau premis adalah halal seperti meletakkan peniaga bertudung, meletakkan ayat al-Quran di dinding premis, membuka alunan bacaan al-Quran tanpa mempamerkan logo halal yang diiktiraf JAKIM, tidak menggambarkan bahawa produk atau premis itu adalah halal. Meskipun ianya dikatakan halal iaitu tidak menggunakan bahan-bahan yang haram, tetapi adakah ianya ‘thoyyiban’? bukan sahaja di dalam kandungan makanan, bagaimana pula kesucian premis dan alat-alatan masakan?

Inilah risiko-risiko pengguna Muslim jika ingin memilih produk atau premis yang halal. Keyakinan terhadap sesuatu produk itu halal ‘thoyyiban’ adalah tinggi jika ianya mempamerkan logo halal yang diiktiraf JAKIM. Kegusaran terhadap makan yang masuk ke dalam badan juga boleh dilenyapkan. Bagi seorang Muslim, hal berkaitan makanan sangat penting kerana ianya melibatkan hukum halal haram yang masuk ke dalam badan dan menjadi darah daging.

Justeru itu, umat Islam berhati-hatilah dalam memilih produk terutamanya makanan. Produk atau premis yang mempamerkan logo halal sudah pasti menjaminkan kehalalan dan kesucian. Pada masa yang sama juga, peniaga atau pemilik premis perlulah berusaha untuk mendapatkan logo halal mengikut prosedur yang ditetapkan JAKIM demi kesejahteraan bersama.

Sumber: Unit Penyeledikan al-Haq Centre Malaysia- JAN 2025 dan Astro Awani- 09JAN 2025

Comments