MALAYSIA NEGARA TERBAIK DERADIKALISASI "TERRORIST" DARI RESIDIVISME


Berita berkaitan dua orang bekas 'teroris' Malaysia telah pulang ke Malaysia setelah lama dipenjarakan di Guantanamo menggemparkan rakyatnya. Kebimbangan masyarakat adakah mereka telah benar terpisah daripada ideologi terrorisme dan tidak akan mengulangi tindakan keganasan di negara ini? 

Pemikiran terrorisme merupakan suatu faham yang melihat pendekatan keganasan adalah diperlukan sebagai suatu kaedah untuk mencapai sesuatu tujuan. Jika seseorang itu telah didoktrinkan dengan ideologi ganas, maka untuk deradikalisasikan semula pemikirannya bukanlah mudah. 

Namun, Malaysia adalah antara negara yang terbaik dan diakui keberkesanan dalam menjalankan program deradikalisasi atau pemulihan 'teroris' pada zaman moden ini selain Arab Saudi dan Singapura. Secara umumnya program deradikalisasi 'teroris' terbahagi kepada dua bentuk utama:
i. De-radikalisme (proses memisahkan seseorang sama ada secara sukarela atau paksaan daripada ideologi radikal);
ii. Disengagement (proses memisahkan dan menjauhkan seseorang ekstremis daripada kumpulannya, walau tanpa mengubah ideologi ekstremnya).

Pada dasarnya model 'Counter-Terrorism' di tiga buah negara ini menerima pakai pendekatan ‘hard’ (kuasa kekerasan) dan ‘soft’ (kuasa pujukan) untuk menangani ancaman ekstremisme. Walau bagaimanapun, keistimewaan Malaysia dalam usaha deradikalisasi ideologi terrorisme lebih menggunakan pendekatan ‘lembut’ seperti menjadikan mereka sebagai ‘kawan’ untuk mewujudkan rasa percaya antara dua pihak. Kepercayaan adalah kunci penting yang boleh melembutkan hati mereka yang akhirnya boleh berlapang dada untuk berbicara atau berbincang dengan rasional antara satu sama lain.

Meskipun program pemulihan atau deradikalisasi 'teroris' ini mengambil masa yang lama, namun matlamatnya adalah untuk membawa mereka semula ke dalam arus perdana masyarakat. Setelah pemikiran bebas daripada ideologi ganas, ditambah pula dengan pelbagai sokongan sosial dan ekonomi, diharapkan mereka dapat menggunakan peluang kedua ini untuk memajukan diri dalam kehidupan di jalan yang benar dan memberikan semula bakti khidmat pada masyarakat. 

Pada masa yang sama sokongan moral berterusan daripada pegawai-pegawai pemulihan adalah perlu dan tidak lupa juga pada masyarakat untuk sentiasa memberikan motivasi terbaik pada mereka bukannya dicaci, dihina atau dipulaukan. Dikhuatiri kelak berlakunya pula residivisme yang pastinya menghuru-harakan keharmonian dan memberi ancaman keselamatan pada negara. 

Sumber: Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia- DIS 2024 dan Journal of The International Centre for Political Violence and Terrorism Research, Vol.9(5).


 

Comments