Dalam satu video yang beredar di laman sosial, seorang lelaki dipercayai warga China memberikan sebab mengapa beliau tidak mahu mengambil pekerja beragama Islam untuk bekerja dengannya. Salah satu dari alasannya adalah kerana sebab keagamaan di mana setiap hari Jumaat para kaum Muslim akan ke masjid untuk melaksanakan solat Jumaat yang bermakna untuk tempoh tengah hari mereka akan mengambil masa yang lama.
Video tersebut meraih banyak kritikan para netizen yang menganggap lelaki tersebut mahu mengeksploitasi pekerja tempatan dan menyamakan budaya kerja Malaysia dan negaranya. Malah tambah warga netizen, lelaki tersebut perlu diasimilasikan dengan budaya kerja tempatan.
Dalam undang – undang di Malaysia iaitu dibawah Akta Kerja 1955, memang tidak dinyatakan secara spesifik mengenai waktu solat di tempat kerja. Akan tetapi, mengambil kira Malaysia mempunyai rakyat yang majoritinya beragama Islam, Jabatan Tenaga Kerja, Kementerian Sumber Manusia telah membuat satu garis panduan untuk menyelesaikan perkara ini di mana para majikan perlu memberi masa kepada pekerja beraga Islam menunaikan solat berdasarkan masa berikut:
1) Sekurang – kurangnya 20 minit bagi waktu solat fardhu.
2) Sekurang – kurangnya 1 jam 30 minit bagi solat Jumaat kepada pekerja Islam lelaki.
Sabda Rasulullah SAW:
“(Wajib) dengar dan taat (kepada pemimpin) ke atas setiap orang Muslim pada apa yang ia suka dan ia benci, selagi mana ia tidak diperintah melakukan maksiat, apabila ia diperintah melakukan maksiat, maka tiada lagi dengar dan taat.” (HR Bukhari).
Walaupun hadis di atas menjelaskan bahawa sekiranya seorang pemerintah atau ketua itu menyuruh melaksanakan perbuatan yang bercanggah dengan syariat, maka tidak perlu untuk mentaati suruhannya. Akan tetapi dalam situasi ini, bagi menjaga hubungan dalam pekerjaan, maka sudah menjadi tanggungjawab kita untuk perjelaskan kepada majikan kita bahawa dalam Islam diwajibkan ke atas semua kaum lelaki melaksanakan solat Jumaat. Berundinglah secara damai agar majikan dapat memahami dengan jelas mengapa pentingnya kaum lelaki Islam diwajibkan untuk solat Jumaat. Ia tidak lain untuk memelihara dan menjaga diri agar menjadi Muslim yang lebih baik dan diberkati.
Sumber: Maktabah Al - Bakri
Comments
Post a Comment