PENGARUH LIBERAL MELAHIRKAN INDIVIDU YANG MAJU TETAPI TIDAK BERADAB - ‘EXCELLENCE WITHOUT A SOUL’ BUKTI IDEOLOGI GAGAL
Kebebasan akademik bukan lesen untuk seseorang menyebarkan fahaman liberalisme dan idea liberal seperti pluralisme agama, transgender, homoseksualiti, perkahwinan sejenis, kebebasan berijtihad untuk semua orang atau rombakan hukum Islam.
Hak dan kebebasan tidak datang bersendirian, ia datang bersama tanggungjawab dan kewajipan mesti dipikul setiap individu. Tanpa tanggungjawab dan kewajipan tidak ada hak dan kebebasan. Atas dasar inilah, masyarakat Barat yang menumpukan kepada konsep kebebasan tanpa penekanan serupa kepada tanggungjawab dan kewajipan sebagai manusia telah menyebabkan mereka semakin jauh daripada panduan agama dan nilai murni.
Malangnya, ia turut tersebar dalam kalangan orang Islam sehingga ada yang berusaha menjadi penyambung lidah orientalis liberal, mendapat dana puluhan juta daripada institusi Barat, kemudian menterjemah dan menyebarkan buku membawa fahaman liberalisme dalam masyarakat Islam.
Akibat hak dan kebebasan tanpa tanggungjawab dan kewajipan dalam bidang pendidikan sebagaimana yang dicanangkan oleh ideologi liberalisme, akan menyebabkan lahirnya individu yang sering disebut sebagai ‘uneducated-literates’ bermaksud pemegang ijazah tidak berpendidikan iaitu manusia berkemahiran, mempunyai pekerjaan dan berpendapatan tinggi tetapi tidak berakhlak, tidak berfikiran terbuka, tidak berbudaya, tidak berintegriti serta tidak bertanggungjawab.
Justeru itu, pentingnya pendidikan seperti dianjurkan oleh Islam yang menekankan tujuan pendidikan menyeluruh bagi membangunkan semua potensi individu, akliah, rohani, jasmani agar menjadi insan baik serta berakhlak mulia. Seharusnya melalui pendidikan boleh membawa ilmu dan kebenaran, menyampaikan pencerahan dalam pelbagai kemelut melanda umat manusia, bukan menjadi alat kepentingan golongan tertentu untuk merosakkan pemikiran anak bangsa demi keuntungan peribadi.
Sumber: Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban – Universiti Teknologi Malaysia
Comments
Post a Comment