PENGARUH POLITIK MARXISME DAN KOMUNISME PENCETUS KEMUNCULAN ATEIS DI TANAH MELAYU

 

 
Ancaman ideologi moden bukan sahaja masalah yang dihadapi oleh Islam, sebaliknya ia adalah isu global yang sedang dihadapi oleh semua agama di dunia bagi mempertahankan tradisi masing-masing. Keadaan ini sangat membimbangkan terutamanya bagi umat Islam yang tidak memiliki asas keilmuan akidah yang kukuh. Mereka akan mudah terpengaruh dengan pelbagai ideologi yang menawarkan idea-idea ‘menarik’ berteraskan logik akal sehingga boleh meruntuhkan kepercayaan agama seseorang Muslim.

Antaranya adalah ancaman ateisme. Tarikh sebenar kemunculan ateisme di Malaysia tidak dapat ditentukan secara tepat. Namun, sejarah ateisme di negara ini awalnya berkembang dalam bentuk Marxisme atau Komunisme melalui kegiatan politik dan sastera.

Parti Komunis Malaya (PKM) yang ditubuhkan pada tahun 1930 contohnya, mula menjalinkan hubungan dengan orang Melayu khususnya dengan Kesatuan Melayu Muda (KMM). Salah seorang Penasihat Sulit KMM ialah Sutan Djenin dari Indonesia merupakan seorang Komunis dan ateis. Malah antara syarat menjadi ‘public figure’ Komunis atau orang kepercayaan PKM ialah pengakuan tidak percayakan agama. Pernah terjadi dialog antara Presiden KMM yang berfahaman ateis dengan Dr. Burhanuddin al-Helmi yang merupakan pengasas Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pada ketika itu, menyatakan Tuhan itu tidak ada, kerana kalau Dia ada, tentu Dia berkuasa membuat kasut terompah (https://thepatriots.asia/dialog-dr-burhanuddin-al-helmy-dengan-seorang-ateis/).

Impaknya kini muncul pula golongan yang menggelarkan diri mereka sebagai Ateis Republik. Golongan ini cuba menyerlahkan betapa baiknya untuk menimbulkan persoalan dan mencari jawapan berkaitan Tuhan dan agama serta menganggap masyarakat masih kurang pengetahuan tentang kebenaran ateisme sehingga menolak mereka.

Hal ini membuktikan bahawa gejala ateisme dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya Melayu-Islam pada masa kini tidak pernah luntur malah berada di tahap yang sangat membimbangkan. Justeru itu, perlu adanya penelitian terperinci dan membentuk satu kaedah yang sistematik bagi membendung perkembangan pesat ateis daripada terus menular mempengaruhi umat Islam di Malaysia.

Sumber: Buku Ateisme: Satu Penelitian Awal


Comments