Penghinaan terhadap agama boleh difahami sebagai sebarang bentuk perbuatan sama ada ucapan, tulisan atau sebarang tindak tanduk yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau membangkitkan perasaan permusuhan, kebencian dan prejudis berkaitan dengan agama antara individu atau kumpulan daripada agama yang sama atau berbeza.
Jika dirujuk pada undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan, hak kebebasan bercakap dan bersuara setiap warganegara telah dinyatakan di dalam Perkara 10. Hak-hak tersebut walaubagaimanapun tidak bersifat mutlak kerana tertakluk kepada limitasi-limitasi tertentu atas beberapa justifikasi seperti ketenteraman awam dan prinsip moral.
Sebagai gambaran ringkas kepada keseriusan isu ini, antara insiden penghinaan agama adalah seperti iklan judi menghina Islam, perbuatan membakar al-Quran, menghina azan, tindakan seorang jurugambar menghina agama Hindu di media sosial, tindakan seorang Muslim membuka tudung dan baju kurung dalam program ‘stand-up comedy’ dan lain-lain lagi yang mencetus konflik dalam masyarakat secara nyata mahupun di alam maya.
Dalam kata lain, perbuatan penghinaan terhadap agama bukanlah suatu bentuk kebebasan bersuara yang dijamin dan dibenarkan oleh Perlembagaan dan undang-undang. Sebaliknya ia adalah suatu bentuk pencabulan dan pelanggaran hak kebebasan bersuara kerana ia secara jelas menyebabkan suasana ketidakharmonian dan menyemai perasaan benci membenci antara masyarakat berbilang agama dan bangsa. Pada masa yang sama, mana-mana ideologi agama juga tidak ada yang menyuruh umatnya untuk menghina agama lain, melainkan hormat-menghormati antara satu sama lain.
Sumber: E-Prosiding Seminar Antarabangsa Falsafah, Tamadun, Erika dan Turath Islami – Universiti Sains Islam Malaysia
Comments
Post a Comment