UBATI STRES DAN TEKANAN JIWA DENGAN SOLAT SERTA DOA


Berdasarkan laporan portal berita Utusan Malaysia bertarikh 16 Ogos 2024 menyatakan kes kematian akibat bunuh diri meningkat kepada 1,087 kes. Peningkatan sebanyak 10 peratus direkodkan berbanding 981 kes pada tahun 2022 sebagaimana rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM). Banyak faktor yang dikesan mengapa kejadian seumpama ini berlaku. Salah satunya adalah kerana tekanan hidup yang melampau atau stres yang tidak boleh dibendung oleh individu yang menghadapinya.

Selain daripada rawatan psikologis dan juga sokongan keluarga serta masyarakat, individu yang menghidapi stres ini boleh menggunakan cara rawatan spiritual, maksudnya di sini adalah dengan cara ibadah mengikut agama masing – masing. Sebagai contoh kepada umat Islam mereka boleh melaksanakan solat dan berdoa untuk diberi ketenangan hati. Mungkin ramai yang tidak tahu antara kebaikan solat dalam kehidupan:

1) Hati sentiasa tenang. Firman Allah SWT dalam surah Ar – Ra’d, ayat 28 bermaksud:

“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati-hati mereka menjadi tenteram dengan berzikir (mengingat) kepada Allah. Ingatlah, hanya dengan berzikir (mengingat) kepada Allah lah, hati akan menjadi tenteram." 

2) Memperoleh keredhaan Allah SWT. Dengan melaksanakan solat, seorang Muslim menunjukkan komitmennya untuk mengikuti ajaran Allah dan Rasul-Nya. Ketaatan ini adalah satu cara untuk mendapatkan keredaanNya. 

3) Dapat membentuk disiplin dalam diri. Ini kerana solat memiliki peranan yang sangat penting dalam membentuk peribadi insan yang mempunyai disiplin diri yang tinggi. Ia mengajarkan umat Islam untuk menghargai dan mengatur waktu mereka dengan baik. 


4) Memakbulkan doa dan permohonan. Doa merupakan senjata utama bagi setiap Muslim. Salah satu waktu yang paling mustajab (dikabulkan) untuk berdoa adalah saat sujud dalam solat.

5) Membuka pintu rezeki. Dengan melaksanakan solat, kita akan diberi rezeki yang melimpah ruah oleh Allah SWT.


Apabila kita menjaga solat dengan baik, hidup akan terasa lebih ringan. Urusan kita akan dipermudahkan, masalah terasa lebih mudah dihadapi, dan hati menjadi tenang. Sebagai Muslim, kita hendaklah meyakini ketenangan hakiki hanya diperoleh dengan amalan mendekatkan diri kepada Allah SWT walaupun bukan semua bentuk terapi stres dicipta manusia adalah salah atau tidak berkesan, sebaliknya ia boleh dilakukan sekiranya tidak bercanggah dengan al-Quran dan al-Sunnah. Amatlah malang jika seseorang Muslim tidak menyedari terapi paling mujarab adalah amalan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Orang yang bertakwa kepada Allah dan menyedari kehambaannya, akan patuh apa sahaja diperintahkan serta akan khusyuk, lalu mendapat nikmat solat seperti firman Allah SWT:

"Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang khusyuk. (Yakni) orang meyakini mereka akan menemui Tuhannya dan mereka akan kembali kepada-Nya." (QS Al – Baqarah: 45 – 46).

Sumber: Kolum Agama, Berita Harian (14 Ogos 2024)


 

Comments