Salah satu ciri liberalisme ialah mencabar serta menolak wibawa autoriti yang dilihat mengawal pentafsiran dan kefahaman agama. Dalam konteks di Malaysia, golongan Islam liberal dilihat berusaha untuk menghapuskan institusi Islam. Bagi mencapai matlamat ini, mereka terlebih dahulu akan mengkritik dan menyerang institusi Islam dari pelbagai sudut bertujuan untuk memberikan imej yang buruk terhadap institusi Islam.
Kumpulan G25 adalah antara kumpulan yang terdiri daripada orang Melayu-Islam berstatus profesional dianggap sebagai berfahaman liberalisme telah membuat kritikan terhadap institusi Islam. Mereka menyatakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sepatutnya tiada peranan langsung dalam menentukan moral individu berdasarkan kesalahan jenayah yang dilakukan seseorang. JAKIM hanya menitikberatkan peranannya dalam soal pendidikan dan penyelidikan serta khidmat nasihat kepada rakyat Malaysia yang beragama Islam.
Tindakan lebih berani kumpulan G25 tatkala mendesak kerajaan memansuhkan JAKIM. Mereka mendakwa sebelum JAKIM ditubuhkan, kerajaan tidak memberitahu rakyat Malaysia yang beragama Islam bagaimana untuk mengamalkan agama serta kepercayaan mereka dan tiada siapa memandang serong terhadap umat Islam yang membela anjing. Tambahnya lagi, JAKIM seolah-olah bertugas tanpa arah, selain bertujuan untuk campur tangan dalam kehidupan peribadi rakyat Malaysia. Sehingga tuduhan melampau menyatakan JAKIM menggalakkan ekstremisme atau fahaman pelampau pada setiap hari Jumaat.
Kesimpulannya, ancaman liberalisme terhadap agama dan negara adalah nyata. Mereka berpegang kepada konsep pluralisme, akal manusia adalah wahyu, meragui ketulenan al-Quran, mempersoalkan metodologi pentafsiran al-Quran dan hadis, mengubah hukum dan seumpamanya telah menyebabkan mereka difatwakan sebagai ajaran sesat dan menyeleweng daripada syariat Islam. Justeru itu, jauhilah fahaman liberalisme agar selamat akidah dan agama, seterusnya menjaga kesejahteraan negara dari sebarang ancaman keselamatan.
Sumber: Jabatan Agama Islam Selangor
Comments
Post a Comment