14 NEGARA DIBERI SEKATAN VISA SELAMA SATU TAHUN OLEH ARAB SAUDI PENGURUSAN TABUNG HAJI MASIH YANG TERBAIK
Menurut laporan sebuah portal media menyatakan Arab Saudi telah mengumumkan rombakan dasar visa besar-besaran dengan mengehadkan pelancong daripada 14 negara kepada visa kemasukan tunggal untuk pelancongan, perniagaan dan lawatan keluarga bermula pada 1 Februari baru-baru ini. Memetik media antarabangsa, polisi visa tersebut akan menggantung visa berbilang kemasukan (MEV) satu tahun untuk negara Algeria, Bangladesh, Mesir, Ethiopia, India, Indonesia, Iraq, Jordan, Maghribi, Nigeria, Pakistan, Sudan, Tunisia dan Yaman.
Menurut pihak berkuasa tempatan, perkara itu adalah penggerak kepada perubahan dan juga bertujuan untuk memerangi jemaah haji haram. Antara peraturan visa baharu adalah pengecualian; bagi visa haji atau umrah, visa diplomatik atau rasmi dan pemegang permit pemastautin dan visa kemasukan tunggal sahaja; sah selama 30 hari dengan penginapan maksimum 30 hari. Manakala untuk Malaysia, negara ini kekal tidak terjejas oleh sekatan pengeluaran visa berbilang kemasukan (MEV) yang dikenakan ke atas 14 negara, menandakan keyakinan tinggi Arab Saudi terhadap pengurusan Tabung Haji (TH).
Susulan itu, bakal jemaah Malaysia pada tahun ini sentiasa diingatkan untuk terus mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan sebab ia bukan hanya melibatkan nama baik jemaah haji malah nama baik TH. Dengan pengumuman ini, maka terbuktilah bahawa pengurusan dan jemaah di bawah kelolaan kerajaan Malaysia mempunyai disiplin yang tinggi dan sentiasa memudahkan pengurusan Arab Saudi ketika di musim haji.
Sebenarnya, tidak susah untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh sesebuah negara dan untuk mengelakkan dari dikenakan tindakan. Kuncinya adalah disiplin dan hormat, apabila kita menghormati sesebuah negara dan mematuhi undang – undang negara mereka, maka kita akan dihormati dan disegani. Memudahkan urusan orang lain itu sangat disukai dan disayangi oleh Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa yang memudahkan urusan orang yang sedang di dalam kesusahan, nescaya Allah SWT akan memudahkan urusannya di akhirat.” (HR Muslim).
Sedikit nasihat buat para bakal jemaah haji, patuhi undang – undang, sentiasa peka dengan arahan dan nasihat para petugas TH sepanjang musim haji yang akan datang. Ini bertujuan untuk keselamatan diri dan juga menjaga imej bersih nama TH sebagai salah satu badan pengurusan haji yang terbaik di dunia.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
Comments
Post a Comment