Setiap lapisan masyarakat mengamalkan upacara perkahwinan mengikut kepercayaan anutan agama masing-masing. Bukan sahaja adat-istiadat dituruti, malah tentunya elemen agama diamalkan bagi memastikan kesahan sesebuah perkahwinan tersebut.
Kehidupan di Malaysia yang hidup berbilang bangsa dan agama adalah keunikan yang sama-sama dirai dan dipelihara keharmonian demi perpaduan nasional. Namun, isu boleh timbul tatkala ‘garisan’ yang memisahkan agama dan adat cuba dicampur adukkan atas nama perpaduan.
Misalnya timbul kontroversi susulan bekas pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), bukan sahaja menghadiri majlis perkahwinan seorang ahli akademi berbangsa India yang juga anggota PSM, malah beliau turut bersetuju untuk menjadi individu yang menyerahkan ‘thaali’ mewakili pendeta kuil. Lantaran itu, para media memuji tindakannya yang dikatakan sebagai simbol indah yang menginspirasikan keharmonian antara agama dan penghormatan bersama.
Adakah perbuatan tersebut menyalahi syarak atau tidak? Sebelum itu, perlu diketahui terlebih dahulu simbolik disebalik ‘thaali’ menurut adat perkahwinan Hindu. ‘Thaali’ adalah segumpal benang putih yang disapu dengan kunyit dan dikalungkan pada leher kedua-dua pengantin sebagai lambang suci perkahwinan. Tiga hari sebelum perkahwinan, ‘thaali’ akan diambil daripada tukang ‘thaali’ dan diletakkan di tempat sembahyang agar diberkati oleh Tuhan sebelum diserahkan kepada pengantin oleh pendeta.
Berdasarkan penerangan tersebut, jelas perbuatan tersebut merupakan antara upacara keagamaan dalam perkahwinan Hindu yang sepatutnya tidak disertai oleh mana-mana Muslim. Hadir ke majlis perkahwinan itu tidak salah, namun tindakan seorang Muslim menyerahkan ‘thaali’ simbolik kesucian perkahwinan Hindu menggantikan pendeta adalah menyalahi hukum syarak.
Memandangkan penulis media turut memuji tindakan tersebut seolah-olah menghalalkan yang haram, maka isu ini seharusnya dipolemikkan meskipun ianya berkait dengan perpaduan nasional. Bukan untuk menghuru-harakan keadaan, apakan lagi mencemarkan imej Islam, namun cuba untuk menonjolkan ketegasan dalam agama apabila berkait dengan akidah.
Toleransi umat Islam di negara ini dengan penganut agama lain dari dahulu sudah dipamerkan dengan baik sehingga terwujudnya keharmonian dan perpaduan sepanjang masa bermula selepas merdeka. Persahabatan terjalin tanpa mengira bangsa dan agama, segala perayaan dirai bersama, majlis juga dihadiri, namun sedikit pun tidak terasa hati jika berlainan agama tidak menyertai upacara keagamaan masing-masing.
Persoalannya, semenjak bila kepincangan perpaduan nasional diukur tatkala tidak menghadiri upacara keagamaan bangsa lain? Mengapakah pengamal media tidak sensitif hal melibatkan agama ini sebelum dihebahkan? Mengapakah tiada yang bersuara apabila agama Islam cuba diasimilasikan kononnya atas nama perpaduan? Adakah kerana pengaruh liberalisme, maka Islam turut diliberalisasikan? Jika perkara ini terus berlaku, maka pincanglah Islam di negara tercinta. Renung-renungkan.
Sumber: Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia – FEB 2025 dan Malaysia Kini- 7FEB 2025
Comments
Post a Comment