Kejadian seorang lelaki berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU) mental yang dipukul beramai – ramai di sebuah pasar dan juga kejadian yang sama berlaku di salah sebuah masjid di ibu negara telah membuka mata ramai pihak tentang bagaimana untuk menangani individu yang berstatus sebegitu. Benar, bukan mudah sebenarnya untuk berhadapan individu seperti ini kerana keadaannya yang tidak menentu. Namun, tindakan individu – individu yang memukulnya secara kejam juga bukanlah jalan penyelesaiannya.
Di dalam agama Islam, agama ini mengiktiraf penyakit mental atau penyakit psikiatri yang wujud dan diterangkan dalam perubatan moden. Malah Islam itu bersifat inklusif iaitu menerima ilmu yang dihasilkan melalui kajian saintifik dan penerbitan moden selagi tidak bercanggah dengan syariat Islam. Malah Islam menyuruh umatnya mendapatkan rawatan apa cara sekali pun selaras dengan landasan ajaran Islam (halal dan toyyiban). Ini termasuklah rawatan moden di klinik dan hospital atau altenatif yang berpandukan ayat Al Quran dan tiada unsur syirik dan pemujaan jin dan syaitan.
Orang yang berdepan gangguan mental atau gangguan jiwa adalah mereka yang tidak mampu mengawal tindakan atau memahami akibat perbuatannya. Oleh sebab itu, Rasulullah SAW mengajarkan sikap lemah lembut terhadap mereka yang memerlukan, selari dengan prinsip menjaga kehormatan manusia. Islam memberikan panduan yang berbeza dalam pemerihalan usaha mengatasi masalah kemurungan. Manusia secara fitrahnya dipengaruhi oleh unsur dalaman yang terdiri daripada perasaan, jiwa dan nafsu. Sekiranya unsur-unsur tersebut mengalami gangguan, maka ia seterusnya akan mempengaruhi tingkah laku dan perbuatannya.
Jadi, dalam menangani masalah ini, jalan alternatif terbaik untuk merawat penyakit-penyakit mental ini dengan menggunakan ayat-ayat Al-Quran, mendirikan solat, bacaan zikir, doa-doa lazim dan khusus, bermunajat dan melakukan amar maa’ruf sebagaimana yang digariskan oleh syariat Islam. Firman Allah SWT:
“Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).” (QS Al – Baqarah: 152).
Islam juga menyarankan melalui panduan Sunnah Rasulullah SAW yang sangat banyak dalam hal pembentukan silaturrahim dan hubungan sosial yang baik dalam masyarakat. Hubungan yang erat antara ahli keluarga dan masyarakat sekeliling berupaya merangsang pemikiran, emosi dan perasaan yang lebih seimbang, bersemangat dan bermotivasi dalam meneruskan kelangsungan hidup. Kaedah saranan Islam yang dinamakan ‘hidup berjemaah’ yang sangat cocok dalam merungkai kebejatan penyakit sosial seperti kemurungan dan tekanan perasaan.
Kesimpulannya, walau sebesar manapun masalah atau kesukaran yang menyumbang kepada tekanan perasaan dan kemurungan, kita perlu sedar bahawa ianya boleh dihadapi dengan jayanya jika tindak-tanduk kita menepati syariat Islam. Allah SWT berfirman:
“Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu). Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia. Dan masuklah ke dalam Syurgaku.” (QS Al – Fajr: 27 – 30).
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment