BERSIKAP RASIS MENDATANGKAN KEMURKAAN ALLAH SWT PERPADUAN ITU DITUNTUT DALAM AGAMA


Isu peniaga jagung di pasar malam yang mempamerkan notis perniagaan bersifat rasis minggu lalu mengundang banyak kecaman warganet. Walaupun peniaga itu difahamkan sudah membuat tuntutan maaf, namun artikel suka untuk mengingatkan kepada semua rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam agar tidak berperilaku seperti ini dan sentiasa berfikir dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan yang bakal mengundang kesusahan di kemudian hari.

Allah SWT menerusi para Nabi secara umumnya dan Rasulullah SAW secara khususnya telah menjelaskan kehendak-Nya kepada umat manusia bahawa Dia menyukai perpaduan dan membenci segala bentuk perpecahan. Ini sebagaimana firmanNya dalam surah Ali ’Imran, ayat 103 bermaksud:

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara.”

Ayat di atas jelas menyeru umat manusia menjalani tanggungjawab menyatupadukan  ummah dan dilarang dari berpecah belah. Dengan kata lain Islam melarang sebarang perkara atau tindakan yang boleh membawa kepada perpecahan. Perpaduan merupakan satu sumber kekuatan dalam masyarakat. Umat Islam khususnya harus melihat isu perpaduan ini sebagai satu perkara yang perlu diutamakan kerana Islam itu sendiri merupakan agama yang menekankan kepada aspek keamanan, persefahaman serta rasa cinta dalam kalangan umatnya dan manusia sejagat amnya. Namun begitu, mutakhir ini terdapat isu tertentu yang menggugat perpaduan dalam kalangan umat Islam.

Seharusnya perpaduan ummah tidak berdepan dengan halangan kerana umat Islam mempunyai asas yang paling kuat dalam mengekalkan kesatuan dan kebersamaan dalam kalangan umatnya. Akidah tauhid merupakan asas dan ikatan paling kuat kepada penyatuan dan kebersamaan ini. Islam sangat melarang umatnya untuk bersifat rasis apatah lagi menghina serta mencaci sembahan agama lain. Allah SWT berfirman:

“Dan janganlah kamu cerca apa yang mereka sembah selain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.” (QS Al – An’am: 108).

Ingat, jadilah rakyat yang sentiasa menjunjung tinggi prinsip perpaduan negara tanpa perlu ada persengkataan. Jangan nyalakan api perkauman dan bertoleransilah sebagaimana yang ditetapkan oleh para pemimpin. Amatlah penting untuk kita memupuk rasa kasih sayang dan kebersamaan agar keutuhan ikatan persaudaraan ini mampu menjelmakan rasa hormat oleh masyarakat lain terhadap Islam dan kepimpinan yang diterajui oleh umat Islam.

Sumber: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)


 

Comments