Sudah menjadi tabiat manusia semenjak berzaman, mudah terjerumus di dalam kesesatan dan penyelewengan walaupun setelah menerima penjelasan dan keterangan tentang akidah Islam. Golongan sesat sentiasa wujud pada setiap zaman sama ada disebabkan oleh kejahilan, kedegilan mempercayai ilmu daripada sumber yang tidak benar, menyandarkan kepercayaan kepada sangkaan semata-mata, sifat ego, ingin dipuja dan disanjung, keinginan untuk menjadi berbeza daripada yang lain serta tunduk kepada hawa nafsu.
Hanya dengan keimanan kepada Allah SWT menjadikan manusia sebagai umat terbaik iaitu yang mengamalkan sifat pertengahan, tidak terlalu ekstrem atau longgar dalam kehidupan beragama. Orang yang beriman juga menjalani kehidupan berpandukan nas, hujah dan dalil yang sahih serta menggunakan pertimbangan akal fikiran yang waras dalam segenap urusan kehidupan.
Justeru itu, berhati-hatilah dengan anasir yang boleh menggoyahkan akidah, tetap teguhlah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah kerana kesan dan implikasinya banyak mendatangkan keburukan bukan sahaja pada diri, malah juga kepada masyarakat. Antaranya termasuklah:
i. Menyebabkan syirik, kufur dan murtad;
ii. Mewujudkan perpecahan dalam masyarakat;
iii. Menimbulkan pelbagai bentuk keganasan dalam masyarakat;
iv. Membuat manusia sesat dalam beragama; dan
v. Mengancam keselamatan negara.
Sumber: Majlis Agama Islam Selangor dan Majlis Keselamatan Negara
Comments
Post a Comment