HINDARI KONSPIRASI ‘QURANIC SONG’ BERTOPENGKAN AGAMA HARAM MENGGABUNGKAN AYAT AL-QURAN DENGAN IRAMA MUZIK


Al-Quran memiliki kedudukan yang sangat tinggi bagi umat Islam kerana ianya adalah ‘kalamullah’ yang menjadi mukjizat Nabi Muhammad SAW sebagai sumber utama ajaran Islam, menjadi petunjuk hidup bagi seluruh umat manusia dalam pelbagai aspek kehidupan termasuk akidah, ibadah, muamalat, akhlak dan hukum. 

Oleh sebab itu, umat Islam harus mengagungkan dan menghormati al-Quran serta tidak boleh merendahkan, meremehkan atau menghinakannya. Bahkan dalam membaca al-Quran harus memerhatikan hukum-hukum tajwid dengan benar dan berdosa seseorang yang membaca al-Quran tanpa mengendahkan hukum-hukum tajwid.  

Namun, seiring dengan perkembangan modenisasi, otak manusia turut kreatif dalam menghasilkan sesuatu yang luar biasa untuk mendapat perhatian masyarakat sehingga tidak membataskan pemikiran atau perbuatan mengikut hukum syarak. Umpamanya, seorang artis Indonesia telah mengalunkan Surah al-Fatihah mengikut alunan lagu ciptaannya dan diiringi muzik tanpa mengikut hukum tajwid yang betul. 

Bukan itu sahaja, malah turut muncul trend ‘Quranic Song’ (Aghani Quraniyah) iaitu kandungan di Youtube yang menggabungkan muzik dengan ayat-ayat suci al-Quran. Dalam kandungan tersebut, pencipta kandungan (content creator) tersebut telah menggabungkan ayat-ayat al-Quran dengan irama muzik DJ. Misalnya, Surah al-Fatihah diucapkan dengan gaya ‘rap’ disertai muzik khasnya dan Surah Qaf dimasukkan dalam lirik lagu dengan gaya muzik ‘rock’. 

Perkara-perkara tersebut boleh dianggap sebagai menghina agama, merendahkan dan meremehkan keagungan al-Quran. Sesungguhnya, perbuatan menjadikan ayat al-Quran itu sebagai nyanyian dan lagu adalah haram kerana ia akan mengubah serta merosakkan aturan lafaz dan makna al-Quran. Seperti dibuang setengan hurufnya atau ditukar sebahagian barisnya atau dipanjangkan bacaan yang pendek supaya sesuai dengan irama dan rentak lagu yang dinyayikan dan seumpamanya.

Walau bagaimanapun, hukum melagukan ayat al-Quran adalah boleh dengan tiga batasan iaitu tidak mengubah ‘makhraj’ dan makna, tidak dengan alat muzik dan tidak ada indikasi ‘ihanah’ (meremehkan). Hal ini menguatkan kesimpulan bahawa membuat ‘quranic song’ atau menggabungkan ayat al-Quran dengan muzik adalah haram kerana terdapat unsur ‘ihanah’ terhadap keagungan al-Quran. Justeru itu, umat Islam perlu berhati-hati dalam menghadapi konspirasi anasir negatif yang cuba mencipta dan mengembangkan trend-trend yang bertopengkan agama sehingga tanpa sedar ia sebenarnya boleh memesongkan akidah.

Sumber: Haul KH M Ali Shodiq Umman ke-26: Jawa Timur, Himpunan Fatwa Syeikh Athiyah Saqr dan Kitab at-Tibyan Fi Adab Hamalah al-Quran


 

Comments