ISU GULA – GULA ‘GUMMY’ CEGAH SEBELUM TERLAMBAT!!


Susulan berita kematian seorang pelajar sekolah rendah berusia 10 tahun yang meninggal dunia kerana tercekik gula – gula ‘gummy’ kenyal berbentuk mata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan arahan melarang penjualan produk berkenaan di semua platform dalam talian mahupun pasaran domestik. Dalam satu kenyataan, kementerian berkenaan turut menyatakan penjualan produk tersebut menyalahi keperluan pelabelan yang diperuntukkan di bawah Peraturan-peraturan Makanan 1985, Akta Makanan 1983 [Akta 281].

Artikel ingin mengajak semua pihak terutamanya ahli keluarga dan ibu bapa agar memantau dan menasihati anak-anak supaya lebih berhati-hati dalam pemilihan makanan, terutama makanan yang mempunyai risiko tercekik. Seperti yang semua maklum, pemakanan yang sihat adalah penting untuk tubuh badan yang sihat. Artikel tidak bermaksud untuk menutup pintu rezeki para penjual makanan ringan, akan tetapi perlu diingatkan bahawa anak – anak kecil memerlukan kandungan khasiat yang seimbang dan bebas dari sebarang makanan yang mempunyai kandungan gula yang tinggi.

Seperkara lagi, adakah kita yakin bahawa produk berkenaan adalah satu produk yang halal? Kita sendiri tidak mengetahui kandungan yang digunakan di dalam gula – gula tersebut. Bagaimana kita terlalu yakin untuk menjual dan memberi manusia khususnya anak – anak kecil makan? Walaupun ada sebilangan netizen yang menyatakan ia bukan salah produk tetapi sudah asbab ajal kanak – kanak tersebut tiba, namun bukankah elok mencegah lebih baik dari merawat? Allah SWT berfirman:

“Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke lembah kebinasaan.” (QS Al – Baqarah: 195).

Artikel tidak bermaksud untuk mempersoalkan takdir kematian kanak – kanak tersebut, namun andai kata kandungan produk itu berbahaya dan memudaratkan, mengapa kita masih mahu menjualnya? Jangan asyik fikirkan keuntungan sehingga membahayakan nyawa orang lain. Buat ibu bapa, ajari dan didik anak – anak anda tentang pemakanan yang sihat dan jauhi makanan yang boleh memudaratkan tubuh badan mereka. Kita harus tegas demi kesihatan diri mereka agar tidak terjadinya insiden seperti sebelum ini. Cegah sebelum terlambat!

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


 

Comments