JADILAH SEORANG YANG ZUHUD AKHIRAT DIKEJAR, DUNIA TIDAK DITINGGALKAN


Zuhud dalam maksud bahasa merujuk kepada berpaling daripada sesuatu atau tidak menghendaki kepada sesuatu kerana tiada mutu atau nilainya. Manakala menurut syarak, zuhud ialah mengambil sekadar yang perlu daripada sesuatu yang diyakini halalnya. Huraian makna zuhud menurut istilah dapat digambarkan sebagaimana berikut:

Benci kepada dunia dan berpaling daripadanya.
Meninggalkan kesenangan dunia kerana memilih kesenangan akhirat.
Hati tidak terpikat daripada sesuatu yang dikosongkan oleh tangan (yang tiada di tangan atau yang tidak dipunyai).
Menghindarkan duka atas yang tiada dan menghilangkan gembira dengan yang ada.

Ada yang beranggapan sekiranya seseorang ini berpendapat zuhud bererti tidak memiliki apa-apa. Di samping terdapat yang menghubungkan istilah zuhud dengan persoalan sedikit makan, mengabaikan kepentingan jasad, berpakaian selekeh dan kusut masai. Jadi, ada yang beranggapan gaya hidup zuhud tidak sesuai sama sekali dengan ajaran Islam yang progresif dan berdaya maju.

Menurut salah seorang tokoh ulama tersohor, Imam al-Ghazali sebagaimana tercatat dalam kitab tersohor beliau iaitu Ihya' 'Ulum al-Din menjelaskan istilah zuhud pada dasarnya adalah merujuk kepada gambaran sikap seseorang memalingkan kegemarannya daripada 'satu perkara' kurang baik kepada 'satu perkara' lain yang lebih baik apabila perkara kurang baik itu ialah dunia, sedangkan perkara lebih baik pula ialah akhirat. 

Manakala menurut Imam Ahmad, zuhud itu ada tiga bentuk. Pertama, meninggalkan yang haram. Inilah zuhud orang-orang awam. Kedua, meninggalkan yang berlebih-lebihan daripada yang halal. Inilah zuhud orang-orang khusus. Ketiga, meninggalkan semua perkara yang menyibukkan diri daripada Allah. Inilah zuhud orang-orang ‘arif (orang-orang yang faham terhadap Allah).

Walau bagaimanapun zuhud itu dituntut, kita sebagai umat Islam harus pandai mengimbangi antara urusan kehidupan di dunia dan seterusnya di akhirat. Ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

“Berilah perhatian terhadap perkara yang memberi manfaat kepadamu, mintalah pertolongan dari Allah dan jangan kamu berputus asa." (HR Muslim).

Apabila Nabi SAW ditanya berkenaan amalan yang terbaik yang boleh dilakukan oleh seseorang, Baginda lantas menjawab:

"(Amalan yang terbaik) adalah amalan yang dilakukan oleh seseorang dengan tangannya (usahanya) dan setiap jual beli yang diterima.” (HR Ahmad).

Inilah erti zuhud yang sebenar yang mesti dipaterikan di dalam jiwa kita. Rasulullah SAW sentiasa berpesan agar sentiasa mengamalkan sikap zuhud untuk meraih cinta Allah SWT. Sabda Baginda:

Zuhudlah kamu di dunia, maka kamu akan dicintai oleh Allah. Dan zuhudlah kamu di hadapan manusia, nescaya mereka akan mencintai kamu.” (HR Ibnu Majah).

Sumber: Maktabah Al – Bakri


 

Comments