KERAS KEPALA GOLONGAN LIBERAL MENEGAKKAN PRINSIP KEBEBASAN TANPA BATASAN PERLU DICARAS


Salah satu nikmat kemerdekaan adalah masyarakat mempunyai kebebasan untuk bersuara. Namun kebebasan bersuara tersebut tidak diberikan secara mutlak untuk mengatakan apa-apa sahaja tanpa batasan, sebaliknya wujud sempadan moral, agama, undang-undang dan adat tatasusila supaya tidak merosakkan manusia serta meruntuhkan peradaban. Oleh itu, masyarakat perlu disedarkan terhadap bahaya pemikiran liberalisme yang memberi kebebasan kepada manusia melakukan apa sahaja tanpa sekatan agama dan nilai murni.

Golongan liberal yang beragama Islam terbahagi kepada dua kategori, iaitu kelompok keliru kerana jahil dan keliru pada tahap teruk disebabkan keras kepala. Kelompok pertama mudah ditangani apabila mereka masih boleh diberitahu dan dididik. Kita hanya perlu mengambil pendekatan menegur dan mendidik dengan lembut kerana mereka masih boleh diubah melalui didikan.

Namun, kategori kedua pula agak susah kerana langsung tidak mendengar apapun hujah dikemukakan dan tidak menghormati autoriti, sebaliknya hanya mahu mendengar apa yang ingin didengar. Mereka bukan hanya keliru tetapi berusaha keras mengelirukan orang lain. Oleh itu, tiada jalan lain kecuali mengambil tindakan tegas melalui penguatkuasaan undang-undang.

Perlembagaan meletakkan Islam di bawah kuasa raja-raja, maka fatwa negeri serta persekutuan dikeluarkan mufti mengikat hingga kerajaan boleh menggunakan fatwanya sebagai dasar polisi. Walaubagaimanapun, pada masa yang sama usaha penerangan berterusan kerajaan, badan berkanun dan majlis agama Islam negeri mesti dilakukan dengan lebih baik kerana cabaran liberalisme semakin hebat.

Sumber: Berita Harian


 

Comments