Kebebasan beragama secara dasarnya merupakan hak setiap individu. Perbezaan pegangan agama dan kepercayaan dapat dilihat dengan jelas dalam kalangan masyarakat seantero dunia. Kebebasan beragama juga memberi makna bahawa setiap individu mempunyai agama tersendiri meskipun kepercayaan berbeza-beza.
Namun, golongan ateis adalah golongan yang menyalahtafsirkan erti kebebasan beragama itu tatkala mereka berpendirian untuk tidak beragama, menolak kerelevanan agama dan menolak kewujudan tuhan. Oleh sebab itu, mereka sering mempertikaikan soal berkaitan ketuhanan.
Contohnya dalam isu proses kejadian manusia. Menurut Islam, kelahiran manusia adalah mengikut tujuh peringkat iaitu bermula dengan ‘nutfah’ (percampuran air mani) dan berakhir dengan ‘nafkhur-ruh’ (peniupan roh). Golongan ateis yang sering bangga dengan pegangan idoeloginya, ‘Science vs God’, sudah pasti mencanggah teori yang dikemukakan agama Islam. Malah, mereka percaya kewujudan manusia bermula dari ‘Primordial Soup Theory’ iaitu kehidupan bermula di laut dan kombinasi bahan-bahan kimia di persekitaran dan beberapa jenis tenaga telah menghasilkan asid amino serta protein yang kemudiannya berkembang menjadi kehidupan di muka bumi ini.
Di Malaysia, globalisasi telah mempengaruhi penyebaran pandangan dan ideologi ateisme sehingga masyarakat terdedah dengan mudahnya kepada pemikiran tersebut. Walau bagaimanapun, sikap dan reaksi terhadap ateisme di Malaysia di tahap yang pasif. Majoriti reaksi menunjukkan bahawa ateisme sukar berkembang kerana ianya dipengaruhi oleh keutuhan dan kepentingan agama dalam masyarakat. Nilai-nilai agama yang diwarisi secara turun-temurun menjadi salah satu faktor kesedaran bahawa agama itu adalah penting dalam kehidupan manusia bagi memacu kehidupan yang lebih baik bukan sahaja di dunia, malah di akhirat kelak.
Sumber: Prosiding Seminar Falsafah Sains dan Ketamadunan, 5(2) – Universiti Teknologi Malaysia
Comments
Post a Comment