Hak kesamarataan adalah hak yang sering diketengahkan golongan tertentu khususnya liberal demi kepentingan peribadi. Namun, dalam konteks agama, manusia tidak sama secara semulajadi keseluruhannya. Para ulama telah mengiktiraf bahawa para rasul dan nabi mempunyai kedudukan yang lebih tinggi daripada manusia biasa, lebih khusus lagi Nabi Muhammad SAW adalah amat tinggi dan mulia kedudukannya.
Maka, sebagai seorang Muslim perlu berawas dalam mengiktiraf kesamarataan manusia, lebih-lebih lagi ketika menilai kedudukan diri sendiri berbanding para ulama yang lebih tinggi ketakwaan mereka. Secara lebih khusus, orang awam malah ahli dalam sesuatu bidang yang bukan agama, tidak sepatutnya berasa autoriti ilmiah mereka sama dengan kefahaman para ulama, lalu mengemukakan pendapat keagamaan secara bebas. Demikian juga dengan para ulama yang tidak sepatutnya berasa besar diri sehingga menceroboh bidang kepakaran orang lain. Perlu disedari bahawa keahlian dalam disiplin ilmu perlu dihormati.
Oleh sebab itu, apabila konsep akal individu ala ‘Enlightment’ yang telah dinyahkan unsur kerohaniannya, disangka sama rata dengan keupayaan akliah para ulama, lalu dibiarkan bebas mentafsir dan mentakwilkan kandungan wahyu sewenang-wenangnya. Inilah yang cuba dibawa oleh aliran pemikiran liberal Islam dengan mengguna pakai prinsip kebebasan dan sama rata dalam hal keagamaan.
Justeru itu, perlu diungkapkan kembali ajaran dan konsep yang relevan dalam khazanah tradisi Islam untuk menangani cabaran liberalisme agama ini. Ajaran dan konsep berkenaan ialah berpegang dengan ijmak dan mengikut perjalanan jemaah ulama sebagaimana Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Sumber: Jurnal Usuluddin, Vol. 40 – Universiti Malaya
Comments
Post a Comment