KONTROVERSI TIPU ‘CONTENT’ ORANG HILANG DI NEGARA SEBERANG: NORMALISASI DOSA DEMI MENDAPATKAN RATING TINGGI
Pasti kebanyakan daripada kita sudah tahu tentang perkara yang tular dan menjadi bualan hangat netizen daripada kedua negara iaitu Malaysia dan Indonesia. Ia tentang seorang pempengaruh asal Malaysia yang melakukan ‘content’ paranormal bersama kumpulannya dan salah seorang dari ahli mereka hilang di dalam hutan. Namun, ia adalah kandungan palsu dan perkara ini telah disahkan oleh pihak polis negara republik berkenaan.
Malah, pihak polis di sana memaklumkan bahawa kandungan yang dihasilkan kumpulan itu juga tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa meskipun sudah diberi kelulusan oleh pengurus wilayah setempat. Mengikut Undang-Undang Nombor 11 Tahun 2008 berkenaan Informasi dan Transaksi Elektronik (Pasal 14), mereka yang didapati bersalah menyiar dan menyebarkan berita palsu boleh dikenakan penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum sebanyak RM271,000.
Hanya kerana secebis popular, maka undang – undang sanggup dilanggar meskipun di negara seberang. Normalisasi sebuah dosa demi mendapatkan rating yang tinggi dalam menghasilkan pendapatan mewah. Sudah terang lagi bersuluh ianya satu dosa besar! Berbohong merupakan perbuatan yang dilarang oleh Allah SWT dan RasulNya. Sikap suka berbohong juga merupakan tanda-tanda orang munafik yang diterangkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Tanda-tanda bagi seorang munafik itu ada tiga; jika sekiranya dia berbicara maka dia berdusta, jika sekiranya dia berjanji maka dia mungkir dan jika sekiranya dia diberi amanah maka dia mengkhianatinya.” (HR Bukhari).
Malah, Allah SWT berfirman:
“Sesungguhnya yang mengada-adakan kebohongan, hanyalah orang yang tidak beriman kepada ayat-ayat Allah, dan mereka itulah pembohong.” (QS An – Nahl: 105).
Tidak salah untuk membuat ‘content’ kerana memang lumrah untuk manusia dalam mencari rezeki di pelbagai bidang termasuk bidang yang berkaitan dengan media sosial. Namun perlu diingatkan bahawa apa yang disampaikan itu mestilah berdasarkan fakta dan kebenaran bukannya menipu dalam mendapatkan rating yang tinggi. Perbuatan pempengaruh berkenaan bukan sahaja satu jenayah, malah ia telah menyebabkan kekacauan hubungan dua negara antara Malaysia dan Indonesia secara dasarnya.
Berhati – hatilah dalam memuat naik kandungan (content). Jangan kerana mengejar populariti maka tanpa kita sedar kita telah menimbulkan satu huru – hara yang amat dasyat bahkan melanggar hukum undang – undang negara.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment