NORMALISASI PERBUATAN SONGSANG DI MEDIA SOSIAL MESKI HANYA SEKADAR KANDUNGAN ‘SUKA-SUKA’ TANDA LIBERALISME BERJAYA MENGUASAI PEMIKIRAN UMAT ISLAM
Aliran pemikiran liberal merupakan satu fahaman atau ideologi yang menghendaki keterbukaan dalam berijtihad terhadap kandungan al-Quran dan as-Sunnah. Oleh sebab itu wujudnya gerakan yang cuba mempromosikan pemikiran tersebut melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau individu-individu tertentu yang berkepentingan sehingga tidak sedar kesan dan ancaman kepada akidah umat Islam di Malaysia.
Gerakan fahaman liberal ini antaranya telah mengiktiraf homoseksual dengan menyatakan bahawa ianya adalah perasaan yang datang secara semula jadi semenjak dari kecil, berpendapat bahawa tiada teks di dalam al-Quran yang menjelaskan hukum terhadap pelaku homoseksual dan sudah tentu ianya adalah hak kebebasan memandangkan liberalisme lebih mementingkan kepentingan individu dari masyarakat.
Sedangkan di dalam al-Quran telah diceritakan kisah kaum Nabi Luth yang yang diterbalikkan negerinya dan ditelan bumi serta dihujani dengan batu-batu dari tanah yang bakar sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Hud, ayat 82-83 dan disokong hadis-hadis muktabar. Kisah di dalam al-Quran ini seharusnya di ambil pengajaran, malah ianya sebagai bukti bahawa perbuatan homoseksual ini adalah dilaknat oleh Allah SWT dan azabNya adalah pasti.
Justeru itu, hentikan menormalisasikan perbuatan atau kandungan media sosial yang menjurus ke arah perlakuan songsang ini. sekalipun dikatakan kandungan di media sosial hanya untuk suka-suka dan meraih ‘FYP’, kerana ia menggambarkan kejahilan dan seolah-olah memperkotak-katikkan hukum agama.
Sehubungan itu, bagi menangkis pemikiran liberal dalam isu homoseksual ini, umat Islam perlulah melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan terutamanya ilmu agama selain memahami dan menghayati tanggungjawab kepada Allah SWT, diri dan masyarakat. Dengan dilengkapi iman, idea-idea golongan liberal yang nyata menyimpang daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah boleh ditangkis dan dihindar dengan mudah.
Sumber: Kertas Seminar Kefahaman Aqidah dan Pemikiran Semasa- Brunei
Comments
Post a Comment