Akhir zaman ini, banyak sekali ‘jarum halus’ yang cuba menusuk pemikiran umat Islam terutamanya golongan belia milenium pada hari ini. Sebagai contoh, penganjuran sebuah anugerah nyanyian yang berlangsung pada Ahad lalu di mana penganjurannya dimulakan dengan acara berjalan di karpet merah menari perhatian para netizen apabila para selebriti dan pempengaruh media sosial lelaki mengenakan busana seakan – akan pemakaian persis seorang wanita.
Tanpa kita sedar ia sebenarnya ‘mesej’ golongan – golongan tertentu yang cuba disebarkan kepada umat Islam yang sedang menonton acara itu secara langsung tentang kebebasan tanpa batasan dan kononnya hak seseorang untuk mengenakan pakaian apa yang mereka suka dan menentukan identiti mereka. Secara logiknya, kita sebagai umat Islam sudah pun dapat menangkap maksud dari perihal ini dan sedaya upaya cuba untuk menjauhkan perkara ini dari terus meracuni pemikiran kita. Rasulullah SAW bersabda:
“Rasulullah SAW telah melaknat orang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan orang perempuan yang memakai pakaian lelaki.” (HR Abu Daud).
Perlu difahami perkataan laknat yang disebutkan di dalam hadis ini mempunyai makna dan impak yang sangat besar bagi mereka yang memikirkan ancaman daripada Baginda Rasulullah SAW. Perlu kita ketahui bahawa pakaian dikhususkan kepada wanita atau pakaian yang dikhususkan kepada lelaki dalam sesebuah masyarakat menjadi haram jika dipakai oleh berlainan jantina. Sekiranya ia adalah alasan melakukan secara suka – suka atau sekadar memenuhi tanggungjawab dalam tugas, ketahuilah bahawa matlamat tidak menghalalkan cara. Yang haram tetap haram dan tidak boleh diubah!
Jangan sesekali menggunakan alasan Gender Identity Disorder (GID) atau Gangguan Identiti Jantina sebagai alasan untuk memperagakan pakaian yang berunsurkan kekeliruan identiti sehingga mengundang kekeliruan di mata masyarakat Islam khususnya golongan belia. Agama Islam telah menetapkan bahawa lelaki hendaklah menjadi lelaki begitu juga perempuan hendaklah menjadi perempuan mengikut sunnatullah yang telah ditetapkan. Hikmah Allah SWT dalam penciptaan sudah pasti membawa pelbagai rahmat dan rahsia-Nya kepada makhluk seperti manusia.
Jangan sesekali mencabar fatwa yang diputuskan oleh para ulama kerana mereka bukan mengeluarkan hukum sesuka hati mereka dan juga mahu kepada pengaruh atau harta benda dunia tetapi fatwa yang diberikan mempunyai asas sandaran dan sumber yang muktamad daripada Al-Quran, al-Sunnah, qiyas dan juga ijma’.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
Comments
Post a Comment