PERAGAKAN AKHLAK SEBAGAI MUSLIM TERBAIK SEJAJAR DENGAN SURUHAN AGAMA


Umat Islam merupakan duta-duta kecil yang membawa nama Islam kemana sahaja mereka berada. Orang yang beramal dengan agama Islam juga mempamerkan kesucian agama itu yang turut akan dilihat oleh orang lain. Setiap perbuatan dan sifat-sifat yang ditunjukkan oleh agama yang dikuti itu juga menonjolkan perkara-perkara yang dituntut dalam agama tersebut. Segala bentuk perbuatan seseorang individu Muslim itu, adalah berpandukan kepada akhlaknya yang dibentuk melalui agama itu sendiri.

Agama mempunyai beberapa asas tertentu iaitu akidah, syariat dan akhlak.  Jika akhlak yang baik dipelihara dan diamalkan oleh umat Islam, seluruh kehidupan manusia akan menjadi aman dan tenteram serta tiada persengketaan. Orang yang beragama itu mempunyai ketenteraman jiwa kerana hidupnya mempunyai matlamat dan merasakan Allah SWT sentiasa melihatnya dan menjaga akhlaknya. Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya aku diutus untuk memuliakan akhlak manusia.” (HR Bukhari).

Sementara itu, Alllah SWT pula berfirman:

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” (QS Al – Ahzab: 21).

Ingatlah, orang Islam yang sejati adalah orang yang melaksanakan tindakan yang tidak menyakiti orang lain. Seseorang individu muslim yang memiliki akhlak mulia adalah mengikuti sifat-sifat akhlah diri Rasulullah SAW. Orang yang mempunyai ciri-ciri mukmin yang sebenar adalah orang yang mempunyai perwatakan akhlak kehidupannya yang baik mengikut syariat Islam. Peragakanlah akhlak sebagai Muslim yang terbaik dan berikanlah gambaran bahawa agama Islam itu merupakan agama yang selamat, sejahtera dan benar.

Sumber: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)


 

Comments