Sudah memasuki lima hari sesi penggal persekolahan bermula, bermacam – macam ragam yang dapat kita lihat sepanjang pembukaan sesi ini. Namun, itu semua tidak mematahkan semangat para guru untuk menabur bakti mereka bagi mendidik anak bangsa. Walaupun hari guru masih lama pada tarikh yang sebenarnya, tetapi tidak salah rasanya kita meraikan golongan ini sempena sesi pembukaan sekolah yang baru.
Dalam menghasilkan satu model guru berkualiti dengan memberi penekanan terhadap beberapa sifat yang perlu ada pada diri golongan itu. Antaranya ialah kasih sayang dan rasa simpati terhadap keperluan pelajarnya. Hal ini boleh berlaku apabila guru itu menganggap pelajar seperti anak sendiri dengan melayani kerenah mereka tanpa jemu. Guru berkualiti perlu menekuni dan mengamalkan sunah Rasulullah SAW dalam kehidupan. Bahkan guru yang berkualiti hendaklah sentiasa menasihati pelajarnya supaya meninggalkan segala perkara keji dan maksiat dengan berhemah serta lemah lembut.
Bagi menjayakan agenda pendidikan melalui pengajaran dan pembelajaran (P&P), pemilihan guru antara perkara penting yang perlu diberi perhatian. Hal ini cukup penting dalam proses pemilihan guru agar mereka benar-benar berkualiti mengikut tasawur Islam. Menurut tasawur Islam, terdapat beberapa elemen yang membentuk keperibadian guru yang bermutu. Antaranya:
1) Beramal soleh. Seseorang guru itu mesti menjadikan perkhidmatannya dalam bidang pendidikan sebagai amal soleh. Konsep amal soleh tidak hanya terhad perlakuan yang baik dan bermanfaat semata-mata, tetapi ia turut meliputi pencegahan daripada melakukan maksiat. Bahkan, Rasulullah SAW menggariskan satu dimensi bagi amal soleh iaitu keupayaan memberi manfaat kepada orang lain. Hal ini dijelaskan menerusi hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Tidaklah seorang Muslim menanam suatu tanaman lalu tanaman itu dimakan manusia, binatang ataupun burung melainkan tanaman itu menjadi sedekah baginya sampai Hari Kiamat." (HR Ahmad).
2) Ihsan dalam mendidik. Allah SWT amat menekankan persoalan ihsan dalam setiap amalan insan. Ini jelas ditekan melalui firman Allah SWT bermaksud:
"Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan." (QS Al – Nahl: 90).
Ihsan adalah akhlak tinggi dalam membina hubungan dengan Allah SWT yang perlu ada ketika seseorang itu melakukan ibadah kepada Allah. P&P juga sebahagian perkara ibadah maka guru sebagai tonggak utama dalam menjayakan P&P semestinya berihsan dalam menjalankan tugasnya dengan harapan memperoleh reda Allah SWT.
3) Menyempurnakan tugas dengan baik. Penyempurnaan tugas adalah proses pembinaan dengan saling melengkapi antara usaha yang gigih dengan bersifat berterusan. Bagi memastikan produk pendidikan terhasil dalam bentuknya yang sempurna dan menepati matlamat pendidikan, guru mesti memiliki sistem dan nilai Islam iaitu ikhlas beramal kerana Allah SWT.
4) Menyeru umat agar memiliki ilmu yang bermanfaat. Guru yang berkualiti akan sentiasa memastikan pelajarnya cenderung ke arah memiliki ilmu bermanfaat. Ilmu yang bermanfaat ialah ilmu disertakan dengan amal. Ia juga ilmu yang dapat menghubungkan antara manusia dengan Allah SWT.
Oleh itu, seorang guru mestilah menunjukkan sikap yang unggul dalam mendidik para pelajar. Bukan sahaja dengan pendidikan, malah mereka juga perlu mejadi role model yang terbaik berdasarkan apa yang diterapkan dalam ajaran agama Islam. Berjayanya seorang murid adalah hasil ‘air tangan’ guru yang mencorak masa depan mereka dengan penuh keseimbangan. Guru berkualiti, murid berprestasi.
Sumber: Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam Isdev, Universiti Sains Malaysia (USM)
Comments
Post a Comment