CARA ISLAM LIBERAL MENGGUNA PAKAI KONSEP KEBEBASAN: BERCANGGAH PERATURAN ISLAM MENYEBABKAN IANYA TERPESONG

 


Ideologi liberalisme muncul atas asas kebebasan individu sebagai tindak balas terhadap pemerintahan kuku besi, feudalisme dan teokrasi yang menjadi pengalaman pahit masyarakat Barat dahulu kala. Fahaman ini memberi penekanan yang mendalam terhadap kebebasan individu, sikap keterbukaan, meraikan kepelbagaian dan dalam masa yang sama menekankan konsep keserataan dan kesaksamaan.

Gerakan Islam liberal yang terinspirasi daripada ideologi liberalisme pula diwujudkan atas asas untuk membebaskan umat Islam daripada dibelenggu kejumudan dan keterbelakangan yang diakibatkan oleh fahaman konservatisme dan fundamentalisme agama, melalui penghargaan terhadap kepelbagaian pandangan, pembukaan pintu ijtihad, perjuangan hak asasi manusia serta mempertahankan kebebasan.

Kesemua cita-cita yang digariskan ini sebenarnya bertepatan dengan ajaran Islam. Namun, ia dilakukan dengan cara menyanggah dan meruntuhkan tradisi keilmuan para ulama yang telah diwariskan sejak zaman-berzaman. Pintu ijtihad dibuka seluas-luasnya kepada sesiapa sahaja dan perkara-perkara yang sudah disepakati oleh para ulama secara ijmak juga cuba dirungkaikan atas nama ijtihad.

Konsep kebebasan dan hak asasi yang diperjuangkan pula nampaknya hanya mencedok daripada teori-teori Barat. Sementara Islam mengiktiraf hikmah dan mengambil manfaat produk yang baik daripada mana-mana tamadun. Islam juga mengajar agar kita menyaring terlebih dahulu pemikiran-pemikiran Barat dan memastikan ianya benar-benar selari dengan pandangan alam (world view) Islam. Telah sekian ramai pemikir-pemikir Islam yang menghasilkan buah fikiran yang tuntas dalam isu kebebasan dan hak asasi manusia seperti Syeikh Muhammad al-Gahzali, Dr. Yusuf al-Qardhawi dan lain-lain yang pastinya perlu ditelaah dalam menformulasi teori kebebasan yang selaras dengan ajaran Islam.

Justeru itu, menjadi tanggungjawab bagi setiap Muslim untuk berhati-hati daripada terjebak dengan pemikiran Islam liberal ini , lebih-lebih lagi apabila Fatwa Majlis Kebangsaan telah memutuskan pemikiran ini adalah sesat dan menyeleweng daripada syariat Islam.

Sumber: al-Bayan Siri 12 – SS Dato’ Dr. Zulkifli al-Bakri


Comments