Firman Allah SWT dalam Surah al-An’am, ayat 108, maksudnya:
“Dan janganlah kamu memaki dan mencela sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana nanti mereka akan membalas dengan cara memaki Allah melampau-lampau pula tanpa ilmu”.
Berdasarkan firman Allah SWT tersebut, maka jelas menunjukkan bahawa umat Islam dilarang untuk mencaci sembahan-sembahan kaum musyrikin, walaupun pada cacian tersebut terdapat kemaslahatan (kebaikan). Hal ini kerana perbuatan mencaci sembahan kaum musyrikin tersebut memiliki mafsadah (kerosakan) yang jauh lebih besar daripada kemaslahatan yang terdapat padanya. Iaitu orang-orang musyrikin itu nanti akan membalas balik setiap cacian tersebut dengan cacian yang lebih melampau-lampau terhadap sembahan orang beriman iaitu Allah SWT.
Umpamanya, kecoh di media sosial berkenaan beberapa orang penyampai radio swasta yang didakwa menghina sembahan kaum Hindu sehingga mendapat kritikan dan cacian yang teruk bukan sahaja pada diri mereka, malah juga terhadap agama Islam itu sendiri. Hal inilah yang telah diingatkan oleh Allah SWT semenjak 1446H dahulu kepada seluruh umat Islam kerana tidak mahu golongan musyrikin mencela semula agama Islam, umatnya dan Allah SWT kerana pastinya lebih melampau-lampau balasannya kelak.
Justeru itu, muhasabah diri dan tetaplah hormat-menghormati sesama berbilang bangsa dan agama. Ini bukan masanya untuk menuding jari dan menyalahkan sesiapa. Semua pihak perlu berganding bahu dan memperkukuh perpaduan. Keharmonian dan kemerdekaan yang dikecapi selama 68 tahun bukanlah mudah dikecapi lebih-lebih lagi dalam kepelbagaian agama dan bangsa, makanya hargailah dan bersyukurlah dapat menikmati hidup yang aman di bumi Malaysia.
Sumber: al-Mawaqif #8- SS Datuk Dr. Zulkifli al-Bakri
Comments
Post a Comment